PERSATUAN Luncur Ais Malaysia (ISAM) membuat penafian berhubung tersebarnya satu video lucah membabitkan seorang atletnya berusia belasan tahun.

Presidennya, Mohd Fadzli Johan ketika dihubungi mengakui terkejut dengan berita tersebut dan menafikan sekeras-kerasnya selain turut menyifatkan ada agenda jahat cuba dirangka pihak tertentu.

"MasyaALLAH...Kami tidak tidak tahu menahu berkenaan penyebaran video lucah itu. Kami memang tak dapat apa-apa berita mengenai ini, tetapi setelah saya lihat dan teliti sendiri kandungan video tersebut, saya yakin itu bukan atlet kami.

"Atlet kami masih muda dan masih bersekolah dan saya tahu mereka tidak pernah merokok dan minum minuman keras, apatah lagi melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ini. Ini semua niat nak memburukkan orang," katanya.

Baru-baru ini, tersebar satu emel bertajuk 'ADUAN TERHADAP ATLET LUNCUR AIS NEGARA' yang mana emel tersebut terdapat satu kenyataan mengenai pendedahan aksi tidak bermoral atlet luncur ais negara selain turut mengepilkan bersama rakaman video lucah berdurasi satu minit 37 saat dan paparan skrin laman Instagram atlet tersebut.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Fadzli yang mengambil alih kerusi presiden ISAM dua tahun lalu berkata, beliau percaya anasir jahat ini cuba dilakukan atas faktor iri hati melihat kejayaan atlet dan persatuan itu sejak akhir-akhir ini.

"Hanya ALLAH yang tahu. Dulu tiada langsung manusia mahukan persatuan ini. Bila kejayaan sudah dicapai di Sukan SEA, ada macam-macam cerita pula.

"Saya tidak menuduh atau mengesyaki sesiapa, tetapi jika benar mahukan sangat persatuan ini, ambillah, tapi lakukan secara 'gentleman' dan bukannya dengan cara jahat seperti ini," katanya lagi.

Tambahnya lagi, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membersihkan nama baik persatuan selain mengelakkan daripada menjadi mangsa kepada lebih banyak anasir jahat pihak tertentu.