SEMUA atlet sukan disarankan untuk terlibat dan menjadi seorang usahawan kerana industri sukan mampu membantu meningkatkan taraf hidup golongan tersebut pada masa hadapan.

Pengarah Mara Negeri Kedah, Yahaya Sani berkata, pihaknya aktif membantu untuk meningkatkan lagi kuasa ekonomi bumiputera dan bidang perniagaan adalah salah satu cabang yang tidak wajar disia-siakan.

Menurutnya, agensi kerajaan itu juga mempunyai pelbagai  kemudahan sokongan dari segi premis perniagaan termasuk kemudahan pembiayaan.

“Mana-mana atlet yang berminat untuk jadi usahawan atau telahpun jadi usahawan boleh mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh kami yang berada di seluruh negara.

“Sekecil-kecil pembiayaan yang disediakan adalah bermula dari RM10,000 sehinggalah sebesar-besar pinjaman industri sehingga RM5 juta kerana industri sukan memang luas dan pelbagai perniagaan yang boleh diceburi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Yahaya berkata, penglibatan pihaknya di Karnival Hot La Bola pada 11 hingga 13 Julai di Stadium Darul Aman adalah untuk mendekati masyarakat termasuk golongan sukan bagi menerangkan tentang peranan pihaknya melahirkan usahawan bumiputera.

“Dalam keusahawanan mara, kita akan lihat industri mana yang akan membantu seseorang itu untuk berjaya pada masa hadapan berdasarkan ekosistem yang tepat.

“Kemudahan ini patut dimanfaatkan oleh semua masyarakat khususnya ahli sukan yang berminat ataupun sudah bergelar usahawan. Jadi saya menyeru ahli sukan yang ada di Kedah datang ke 12 pejabat Mara daerah ataupun Pejabat Negeri Kedah di Alor Setar untuk mendapatkan khidmat atau berbincang apa yang pihak kami boleh bantu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Atlet Lagenda Kedah, Firdaus Abd Razak berkata, peluang disediakan Mara wajar disambut baik atlet mahupun bekas atlet untuk menjadikan perniagaan sebagai cabang kerjaya.

Jelasnya, seorang atlet perlu mempunyai perancangan jangka masa panjang dan pihaknya sentiasa menyokong mana-mana pihak yang sentiasa membuka peluang untuk golongan tersebut membaiki dan meningkatkan taraf hidup mereka.