KONTINJEN Filipina mahu memastikan mereka mendapat  lebih banyak pingat emas dalam edisi kesembilan Sukan Para Asean 2017 (Para KL2017), berbanding atlet senegara yang bertanding pada KL2017, bulan lalu.

Kontinjen yang terdiri daripada 111 atlet yang menyertai sukan dwitahunan untuk atlet Paralimpik serantau itu, menyasarkan 27 pingat emas, lebih  tiga  pingat  daripada yang dimenangi  atlet senegara  dalam Sukan Sea baru-baru ini .    

Menurut Timbalan Ketua Kontinjennya, Dennis Esta, sandaran utama pingat bagi atlet Paralimpik Filipina ialah olahraga dan catur dengan sasaran masing-masing tujuh emas, selain powerlifting, tenpin boling dan ping pong.

“Di Singapura dua tahun lalu, kami mengakhiri kejohanan di tempat ketujuh dengan 16 emas, tetapi kali ini kami mahukan aksi yang lebih baik kerana kerajaan memberikan sokongan latihan sepanjang tempoh setahun.  

"Saya kira kami mampu mencapainya kerana kami mempunyai lebih banyak atlet dan menyertai lebih banyak jenis sukan, 12 daripada 16 yang dipertandingkan,” katanya semasa ketibaan kontinjen itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.  

Pada Sukan Para Asean 2015 di Singapura, Kontinjen Filipina yang terdiri daripada 64 atlet membawa pulang 16 emas, 17 perak dan 26 gangsa.

Sementara itu, pembawa bendera  Minandro Ridor akan mempertahan empat emas dalam acara catur, standard perseorangan, rapid perseorangan, standard berpasukan dan rapid berpasukan untuk kategori mereka yang separuh buta.

“Dengan persiapan lebih baik kali ini selepas menyertai Terbuka Bangkok dan dua lagi pertandingan di Malaysia, saya berharap saya akan mempertahankan pingat saya,” katanya. - Bernama