MEMPELAJARI teknik larian atlet Kenya menerusi video  menjadi resipi kejayaan Muhamad Ashraf Muhammad Haisham yang mengungguli acara 800m T46 (kecacatan tangan) pada saingan olahraga Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di sini, hari ini.

Dalam saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Muhamad Ashraf, 21, yang mengulangi pencapaiannya merangkul pingat emas di Singapura pada edisi 2015 dalam acara berkenaan berkata beliau banyak mendalami teknik larian video atlet dari negara benua Afrika itu yang banyak melahirkan jaguh dunia bagi acara jarak jauh sukan olahraga.

"Saya banyak mempelajari cara larian khususnya teknik keseimbangan badan kerana saya banyak menghadapi kesukaran untuk menyeimbangkan badan ketika berlari.

"Saya juga banyak melakukan latihan ayunan lengan secara sendiri bagi memantapkan lagi larian," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Muhamad Ashraf meraih emas selepas mencatatkan masa dua minit 4.05 saat (2:04.05s) diikuti Tran Van Duc dari Vietnam (2:04.80s) yang memperoleh perak manakala gangsa menjadi milik Raul Quilang Angluan dari Filipina.

Katanya kehadiran anggota keluarganya yang datang dari Pulau Pangkor telah memberi semangat kepada beliau untuk mempertahankan emas yang pernah dimenanginya.

"Kejayaan ini saya hadiahkan kepada keluarga khususnya kedua ibu bapa saya yang banyak mendoakan kejayaan saya dalam bidang ini," katanya yang berazam memenangi emas bagi acara 1,500m pagi esok.

Ditanya bagaimana beliau melibatkan diri dalam bidang olahraga, Muhammad Ashraf berkata kelebihannya yang mampu berlari menyebabkan beliau mula berminat dan bergiat secara aktif sejak di bangku sekolah lagi.

Namun, tragedi hitam pada 12 Jan 2013 yang melanda bekas atlet Perak yang pernah mewakili negeri itu dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Lumut bersama rakannya telah mengubah hidupnya.

Muhamad Ashraf berkata beliau kehilangan tangan kirinya yang disahkan 90 peratus putus selepas menjalani pembedahan akibat kemalangan itu.

"Boleh dikatakan saya kehilangan mood dan patah semangat untuk meneruskan hidup ketika mula-mula menerima nasib buruk ini.

" Bagaimanapun, lama-kelamaan saya cuba menerima hakikat ini dan mula bertanya kepada jurulatih mengenai langkah saya seterusnya malah ibu bapa saya banyak mendorong saya untuk menjadi atlet paralimpik memandangkan mereka sedar kekuatan saya di situ," katanya.

Berkat sokongan padu anggota keluarganya, anak ketiga dari tujuh beradik itu bersyukur mendapat nafas baharu dalam hidupnya setelah menjadi atlet paralimpik buat negara pada tahun 2014 dan rentetan itu, pelbagai kejayaan telah dikecapinya sejak bergelar atlet golongan istimewa itu.

Beliau juga berazam mahu mengikut jejak langkah tiga kawan baiknya yang juga merupakan rakan biliknya di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly yang masing-masing pernah merangkul emas pada Sukan Paralimpik Rio tahun lepas dengan melakar lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang.

Sukan Para ASEAN akan diadakan sehingga 23 Sept ini dengan menawarkan 368 pingat emas daripada 16 jenis sukan yang dipertandingkan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.