ASIA Pacific Masters Games Penang 2018 (APMG) yang julung kalinya akan diadakan pada 7 sehingga 15 September ini di Pulau Pinang menyasarkan 5,000 peserta.

Penyelaras larian obor kejohanan itu, Nik Ariff Long Dir berkata, kejohanan anjuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu akan melibatkan 22 acara dengan peserta dari 57 negara.

"Setakat ini 2,500 peserta dalam dan luar negara telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu dengan peserta asing antaranya daripada Singapura, Jepun, China, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan obor bersempena Larian Obor kejohanan itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azmi Abdul Hamid menerima obor terbabit daripada Setiausaha Majlis Daerah Pasir Mas, Mohd Zaidi Mat Jusoh.

“Matlamat kejohanan ini adalah memberikan tumpuan pada gaya hidup sihat kepada masyarakat seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Nik Ariff berkata, larian obor yang mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi peluang bagi pihak berkuasa terbabit untuk mempromosikan daerah yang terlibat.

“Larian obor ini meliputi 4,000 kilometer melibatkan seluruh negara yang bermula pada  4 April di Sarawak dan akan berakhir pada 2 September depan di Pulau Pinang.

“Di Kelantan, larian obor ini akan berakhir pada Khamis ini (12 Julai) di Pasir Putih dan obor itu kemudiannya akan diserahkan kepada negeri Terengganu pada 13 Julai untuk larian seterusnya,” katanya. - Bernama