HASRAT skuad muda negara meraih tiga mata bagi menghidupkan peluang mara peringkat seterusnya saingan Kejuaraan AFC B19  tidak kesampaian apabila sekadar terikat 2-2 menentang Tajikistan dalam aksi kedua saingan Kumpulan D di Stadium Patriot, Bekasi, sebentar tadi.

Tampil dengan semangat baharu selepas kecundang 1-2 kepada Arab Saudi, skuad kendali Bojan Hodak mula di depan hasil jaringan Hadi Fayyadh minit ke-11.

Gol itu tidak kekal lama apabila skuad kendalian Mubin Ergashev itu kembali bangkit dengan dua gol hasil jaringan  Ehson Panjshanbe (34') dan Daler Yodgorov (46') bagi mendahului babak pertama 2-1.

Bersambung babak kedua skuad Harimau Muda negara kembali mengasak lawan yang sebelum itu menewaskan China 1-0 pada aksi pembukaan berjaya menyamakan kedudukan jaringan Nabil Hakim pada m-55 untuk kedudukan kekal 2- 2 penghujung perlawanan.

Sementara itu, bekas juara dua kali Arab Saudi mengekal momentum dengan melakar kemenangan kedua selepas menewaskan China, 1-0 pada aksi sebelah petangnya.

Arab Saudi kekal mengemudi Kumpulan D dengan enam mata diikuti Tajikistan (4), Malaysia (1) dan China (0).