KOTA BHARU – Pemain senior Kelantan, Amiridzwan Taj Tajudin kecewa dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menggantungnya tidak bertali sehingga menyebabkan kariernya ‘berkubur’ pada musim ini.

Amiridzwan Taj atau dikenali panggilan Taj berkata, tindakan majikannya itu dianggap satu penganiayaan memandangkan dia tidak lagi berpeluang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Kalau tak nak buat cara tak nak, sekurang-kurang bila dah tamatkan kontrak kami boleh berlatih atau main sendiri tapi benda itu terbatas kerana masih terikat. Macam saya dan Piya (Mohd Badhri Radzi) ini hanya bermain hingga April tapi Kafa masih gantung, itu boleh dikatakan bunuh karier pemain.

“Kalau jurulatih tak nak guna sekalipun, paling tidak panggillah berlatih. Saya boleh terima kalau jurulatih cakap kami tak ada dalam perancangan dan boleh berlatih sendiri untuk memudahkan cari pasukan lain tahun depan,” katanya kepada pemberita pada Kejohanan Futsal Kolej Komuniti Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Bekas pertahanan skuad kebangsaan itu antara kelompok pemain senior yang dipinggirkan gara-gara tiada dalam perancangan susulan proses pemutihan pasukan dilakukan bekas jurulatih import dari Syria, Fajer Ibrahim, sebelum pertengahan musim ini.

Ekoran penggantungan itu, Amiridzwan Taj memberitahu, dia tidak dapat membuat keputusan tepat mengenai perjalanan kariernya namun menegaskan masih mampu menyumbang kudrat untuk beraksi dalam Liga-M musim depan.

“Hasrat nak main ada lagi, saya rasa masih boleh beraksi dalam Liga Super. Cuma untuk persediaan lebih jauh, saya akan ambil lesen kejurulatihan B, sekarang ada lesen C,” katanya yang akan berangkat menunaikan fardu haji, Ahad ini.

Dalam masa sama, pemain berusia 32 tahun itu menjelaskan dia masih ‘berlembut’ apabila tidak mahu membuat laporan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung kegagalan Kafa melunaskan gajinya, ketika ini.

“Setakat ini gaji bulan April (dibayar) tak sampai separuh, Mei dan Jun pula tak dapat lagi. Tapi saya dimaklumkan rakan-rakan ada yang dapat gaji Jun. Rasa macam tak adil, sudahlah kena gantung, gaji pula tak bayar.

“Buat masa sekarang, saya rasa boleh berbincang dengan Kafa mengenai hal gaji dan kontrak ini. Melainkan jika dipermainkan, saya tak teragak-agak lapor kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan PFAM,” katanya.