TINDAKAN lebih drastik akan dikenakan sekiranya pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia masih gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain.

Amaran keras itu daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berikutan badan induk bola sepak negara itu telah pun menjelaskan bayaran hutang persatuan serta insentif berjumlah RM27 juta, walaupun sedang berdepan masalah kewangan.

"Saya percaya terdapat beberapa pemain pasukan yang masih menanti tunggakan gaji mereka dan saya berharap pihak yang berkenaan melangsaikan hutang itu dengan segera atau dikenakan tindakan seterusnya.

"Saya tidak mahu mendengar alasan pasukan tidak membayar gaji pemain kerana FAM masih berhutang dengan mereka. Oleh yang demikian, sekiranya selepas ini masih terdapat pasukan yang gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain, tindakan lebih drastik akan dikenakan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut baginda, FAM telah melangsaikan baki bayaran sejumlah RM9 juta kepada 24 pasukan, iaitu RM500,000 kepada pasukan Liga Super dan RM250,000 kepada pasukan Liga Perdana.    

Katanya, FAM juga telah melengkapkan wang insentif tahunan untuk diterima setiap pasukan bagi tahun 2017 iaitu sebanyak RM1 juta bagi pasukan Liga Super dan RM500,000 bagi pasukan Liga Perdana dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM18 juta.

"Saya menyarankan agar wang yang dibayar berkenaan digunakan sebaik mungkin oleh setiap pasukan bagi melancarkan operasi," katanya.

Beberapa pasukan Liga Malaysia sebelum ini dilanda kemelut kewangan sehingga menyaksikan gaji pemain tertunggak selama beberapa bulan, sekali gus menjadi isu berterusan yang gagal diselesaikan FAM sendiri sejak beberapa tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, enam pasukan berdepan hukuman pemotongan mata sekiranya gagal menyelesaikan kes tunggakan gaji pemain.

Menurut Kevin, dua pasukan Liga Super dan empat Liga Perdana masih gagal membayar tunggakan gaji pemain berjumlah RM5 juta selain cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). - Bernama
 

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.