PENJAGA gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman berkongsi pengalaman mengalami alahan teruk selepas disahkan hamil anak sulung bersama gitaris kumpulan Kristal, Rody.

Menerusi laporan mStar Online, Nur Izwani atau lebih mesra disapa Niena Azman berkata usia kandungannya kini mencecah lima bulan.

"Alhamdulillah ini adalah rezeki buat saya dan suami. Saya sangat berdebar kerana ini merupakan pengalaman pertama menghadapi masalah alahan yang teruk.

"Saya kerap pening dan muntah terutama pada awal pagi, badan jadi lemah dan tak larat, sampai saya sendiri jadi seram.

"Namun saya cuba buat-buat busy dan ia berjaya, daripada tak larat terus jadi larat," katanya.

Bercerita mengenai kisah alahannya, Niena turut terkejut apabila masalah tersebut tiba-tiba hilang sebaik sahaja dia masuk ke gelanggang futsal.

"Bila pergi court futsal alahan ok. Saya ingat macam main-main tapi alahan itu tiba-tiba hilang. Rody pun pelik, rasa macam kelakar pun ada.

"Mungkin saya dah biasa aktif, jadi apabila duduk di rumah tak buat apa, itu yang perut jadi meragam," katanya.

Dalam pada itu, wanita kelahiran Kulai, Johor ini berkata dia turut gemar makan makanan pedas terutama ramen.

"Sekarang dah mula nak memilih makanan, tekak asyik nak makan benda pedas je macam ramen.

"Namun saya terpaksa kurangkan sebab doktor kata bahaya kalau ambil dalam kuantiti yang banyak, bimbang ia beri kesan kepada tumbesaran bayi," katanya.

Niena berkata buat masa ini dia sudah berhenti bermain futsal tetapi masih lagi aktif melatih kelab futsal bimbingannya, Academia de Futsal dan Putra Ria FC.

"Dulu semasa hamil lima minggu saya masih lagi berlatih tapi dah berhenti sebulan yang lalu.

"Cuma sekarang saya masih buat coaching dan akan berehat sepenuhnya bulan depan," katanya.

Mengenai jantina anak, Niena berkata dia dan Rody enggan terlalu memikirkan soal itu.

"Kami dah jalani imbasan bayi tapi jantina masih belum diketahui. Kalau boleh saya nak perempuan dan Rody pula nak baby boy. Apa-apa pun kami tak kisah, cukuplah ia dapat dilahirkan dengan selamat dan sempurna," katanya.

Niena dan Rody atau nama sebenarnya, Mohd Rodi Baharudin selamat disatukan sebagai suami isteri pada 28 April lalu.

Rody melamar isterinya menerusi laman sosial Instagram pada September dan bertunang pada 4 November tahun lalu.