KEDAH memanggil penyerang skuad Piala Presidennya, Muhammad Akhyar Abd Rashid untuk menyertai latihan bersama pasukan utama sebelum menghadapi Final Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pemain berusia 18 tahun itu diterbangkan dari Kuching ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi semalam selepas beliau bersama pasukannya menghadapi perlawanan Piala Presiden 2017 menentang Sarawak pada Khamis lalu.

Kehadiran Muhammad Akhyar dijangka akan memberi lebih pilihan kepada Pemangku Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha untuk menyenaraikan 18 pemain terakhir yang akan diturunkan bertemu Pahang.

Arahan tersebut jelas membuatkan adik kepada bekas pemain Kedah, Rafdi Rashid itu terkejut kerana tidak terfikir beliau akan diberi ruang untuk bersaing dengan pemain-pemain lebih senior merebut tempat pada pentas akhir.

"Sebenarnya saya termenung seketika selepas menerima arahan semasa berada di Kuching kerana tidak sangka akan mendapat peluang seumpama ini.

Saya percaya kehadiran saya ke sana adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih. Jika saya terpilih dan diturunkan saya akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muhammad Akhyar sebelum ini sudahpun dipanggil menyertai sesi latihan bersama pasukan utama malah pernah diturunkan pada Suku Akhir Pertama Piala FA menentang PKNP.

Beliau mempunyai corak permainan menarik menerusi larian deras seakan pemain 'supersub', Mohd Farhan Roslan yang tidak dapat diturunkan pada malam ini kerana mengalami kecederaan.

"Ketiadaan Farhan yang cedera mungkin antara sebab utama saya dipanggil untuk bersama pasukan pada kali ini dan saya juga mendapat sokongan dari abang saya, Rafdi yang menasihatkan agar memberikan terbaik jika diturunkan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.