PENINJU profesional negara, Aiman Hisyam Abu Bakar, sangat teruja untuk membuat kemunculan sulung di laman sendiri dalam pertarungan ‘Fight of Champions' di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil, Ahad ini.

Pertarungan berdepan peninju Indonesia, Abdi dalam kategori featherweight sebanyak empat pusingan  itu, merupakan aksi kelapannya dalam karier beliau sebagai peninju profesional.

“Saya mendapat lebih motivasi, teruja dan sangat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada acara besar ini. Saya bersedia menunjukkan kepada Malaysia dan seluruh dunia kemampuan saya.

“Saya tidak sabar untuk turun ke gelanggang kerana saya begitu yakin dapat meraih kemenangan, melakukan ‘knock-out’ dan mencatat keputusan 8-0,” kata peninju profesional negara berusia 26 tahun itu pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Aiman yang berkelana ke Filipina selama empat tahun bagi mengembangkan kariernya dalam tinju secara sepenuh masa, sudah mencatat tujuh kemenangan dalam tujuh pertarungan, dengan tiga daripadanya melalui pukulan ‘knock-out’.

Selain, Aiman, peninju Malaysia lain beraksi pada pertarungan itu adalah Theena Thayalan Raja Selva, yang mencatat lima kemenangan dengan dua ‘knock-out’, akan berdepan peninju India, Siddhartha Varma dalam kategori welterweight berlangsung enam pusingan.

Pertarungan sengit pada hujung minggu ini, disifatkan antara kejohanan tinju terbesar diadakan di Kuala Lumpur kerana melibatkan pertemuan dua peninju terhebat, Manny  Pacquiao atau 'Pacman' dan juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse dari Argentina.

Sementara itu, Aiman berharap kejohanan tersebut akan ‘membuka mata’ kerajaan dalam meningkatkan sukan tinju di negara ini, dan menggalakkan lebih  ramai golongan muda menceburi sukan berkenaan.

Semalam, Pacquiao mengadakan kunjungan ke atas Menteri Belia dan Sukan Syed  Saddiq Syed Abdul Rahman di Putrajaya, dengan kedua-dua mereka berbincang pelbagai perkara termasuk hala tuju sukan tinju di negara ini. - Bernama