PEMUDA Umno Kedah menggesa Menteri Besar Kedah,  Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah mempertimbangkan kemungkinan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) serta-merta.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya menyifatkan tindakan segelintir penyokong Kedah sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan biadab.

Menurutnya, Pemuda Umno Kedah malu apabila seorang menteri besar yang mewakili Kerajaan Negeri dimalukan dan “diboo” dengan keadaan sedemikian rupa walaupun beliau telah banyak berkorban demi kemajuan dan kecemerlangan bola sepak negeri.

"Pemuda Umno percaya, apa yang terjadi tempoh hari adalah sama sekali tidak boleh diterima. Komitmen dan pengorbanan Dato Seri Presiden langsung tidak dikenang dan dihargai.

Untuk rekod semasa pentadbiran beliau sebagai Presiden KFA kita telah ke pentas final Piala Malaysia sebanyak 2 kali dan final Piala FA (satu kali)," katanya pada satu sidang media khas di Hotel Tabung Haji Alor Setar, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, pihaknya juga ingin mencadangkan agar semua ahli politik Umno di dalam KFA turut mengambil tindakan yang serupa.

Jelasnya, tuntutan dan cadangan ini dibuat atas dasar untuk menjaga nama baik parti yang sering dijadikan "kambing hitam" oleh pihak berkepentingan tertentu yang terus menjadikan bola sepak sebagai medan mereka mencari simpati politik dan amarah politik.

Dalam pada itu, Pemuda Umno Kedah juga ingin memohon agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas kepada penyokong JDT yang sama sekali tidak menghormati lagu negeri Kedah ketika ianya dimainkan.

"Sebuah kain rentang gergasi yang bersimbolkan 'haters' jelas menunjukkan niat tidak baik pihak tertentu terhadap lagu kebanggaan negeri Kedah dan secara tidak langsung tidak menghormati keberangkatan Sultan Kedah di pentas utama.

"Mungkin imej 'haters' tersebut bersifat 'umum', namun kami ingin mempersoalkan kenapa ia diturunkan sewaktu lagu kebanggaan negeri Kedah iaitu 'ALLAH selamatkan Sultan' dinyanyikan," soalnya lagi.

Tambah beliau, Pemuda Umno Kedah mohon agar pihak yang bertanggungjawab tampil memberi penjelasan dan pada masa yang sama memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri Kedah dan kepada Tuanku Sultan Kedah atas apa jua niat dan tindakan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :