MALAYSIA mendapat undian yang memihak kepada skuad muda negara bagi dua saingan Kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) - Kejohanan Bawah 19 (B-19) 2018 dan Bawah 16 (B-16) 2018, yang dijadual berlangsung pada September dan Oktober depan.

Berdasarkan undian diadakan di  AFC House di sini hari ini, skuad B-16 negara diundi dalam Kumpulan J bersama-sama  Guam dan Indonesia,  namun ujian sebenar adalah berdepan Jepun yang muncul juara dua kali pada 1994 dan  2006.

Pasukan muda Malaysia juga mendapat laluan mudah untuk layak ke pusingan akhir Kejohanan B-19 setelah  diundi dalam Kumpulan F bersama-sama tiga pasukan Asean - Timor Leste, Brunei dan Indonesia, namun bakal menghadapi tugas getir apabila bertemu juara 12 kali, Korea Selatan yang akan menjadi tuan rumah aksi kelayakan tersebut.

Mengikut format kejohanan bagi kedua-dua kejohanan kelayakan berkenaan, juara bagi setiap 10 kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua, akan beraksi pada pusingan akhir.

Kejohanan Kelayakan B-16 2018 akan berlangsung dari 16 hingga 24 Sept, manakala aksi Kelayakan B-19 2018 dari 31 Okt hingga 8 Nov tahun ini, di negara tuan rumah yang dipilih.

Sementara itu, Ketua Kejohanan Pasukan Kebangsaan AFC Avazbek Berdikulov berkata Malaysia menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah kejohanan Pusingan Akhir B-16, manakala  Indonesia dan  Myanmar pula menunjukkan minat menganjurkan saingan Pusingan Akhir B-19.

Beliau berkata peningkatan jumlah pasukan yang bakal beraksi pada kedua-dua kejohanan kelayakan itu menunjukkan anggota gabungan AFC menyedari betapa pentingnya kejohanan seumpama itu untuk pembangunan bola sepak dalam kalangan belia di negara masing-masing.

"Apa yang berbeza pada tahun ini ialah setiap kumpulan dalam aksi kelayakan terdiri antara empat dan lima pasukan, berbanding edisi sebelum ini sehingga lapan pasukan bagi setiap kumpulan. Kami akan cuba memudahkan pasukan yang akan beraksi dalam pusingan kelayakan serta pusingan akhir," katanya.

Undian Kelayakan B-19:

-------------------------------

Kumpulan A - Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Nepal, Kyrgyzstan (tuan rumah)

Kumpulan B - Uzbekistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Tajikistan (tuan rumah)

Kumpulan C - Iraq, Lubnan, Afghanistan, Qatar (tuan rumah)

Kumpulan D - Yaman, Turkmenistan, India, Arab Saudi (tuan rumah)

Kumpulan E - Palestin, Jordan, Syria, Iran (tuan rumah)

Kumpulan F - MALAYSIA, Timor Leste, Brunei, Indonesia, Korea Selatan (tuan rumah)

Kumpulan G - China, Myanmar, Filipina, Kemboja (tuan rumah)

Kumpulan H - Vietnam, Laos, Taiwan, Macau

Kumpulan I - Jepun, Thailand, Singapura, Mongolia (tuan rumah)

Kumpulan J - Australia, Korea Utara, Hong Kong, Kepulauan Mariana Utara

Undian Kelayakan B-16:

-------------------------------

Kumpulan A - Uzbekistan, Jordan, Bahrain, Sri Lanka, Arab Saudi (tuan rumah)

Kumpulan B - Oman, Syria, Turkmenistan, Maldives, Tajikistan (tuan rumah)

Kumpulan C - Kyrgyzstan, Afghanistan, Lubnan, Bhutan, Iran (tuan rumah)

Kumpulan D - Iraq, India, Palestin, Nepal (tuan rumah)

Kumpulan E - Emiriah Arab Bersatu, Yaman, Bangladesh, Qatar (tuan rumah)

Kumpulan F - Korea Utara, Hong Kong, Taiwan, Macau, Brunei

Kumpulan G - Laos, Timor Leste, Kepulauan Mariana Utara, Indonesia, Thailand (tuan rumah)

Kumpulan H - Korea Selatan, China, Myanmar, Filipina

Kumpulan I - Vietnam, Australia, Kemboja, Mongolia (tuan rumah)

Kumpulan J - Jepun, MALAYSIA, Singapura, Guam - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.