TIGA petinju muay thai negara buat julung kalinya membawa cabaran Malaysia di kejohanan Asia Fighting Championship (AFC) di Singapura, 23 September ini.

Untuk kejohanan pusingan pertama ini, Amirul Ariffin dan Saifullah Ismail masing-masing akan bertanding acara 65kg dan 60kg, manakala kapten pasukan negara, Muhammad Ali Yaakub akan bersaing dalam acara 57kg.

Ali yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur (KL2017) baru-baru ini, menyatakan keterujaan beraksi buat kali pertama di kejohanan tersebut.

Menurutnya, walaupun bakal berdepan cabaran baru daripada petinju terkemuka luar negara, namun beliau yakin mampu memberikan aksi terbaik di kejohanan itu nanti.

“Selepas sahaja Sukan Sea tempoh hari, saya dan rakan-rakan tiada masa untuk berehat dan terus fokus kepada kejohanan ini.

“Tentulah kami inginkan kejayaan di Singapura nanti. Saya harap sangat kejayaan meraih pingat emas di Sukan Sea jadi pembakar semangat kepada saya dan rakan-rakan untuk pamer aksi terbaik buat negara,” katanya di kompleks Majlis Sukan Negara semalam.

Di kejohanan AFC itu nanti, petinju negara bakal berhadapan wakil muay thai dari beberapa negara seperti Korea Selatan, Singapura dan Macau.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.