KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari mengesahkan bahawa beliau telah menerima tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu dinyatakan kepada media ketika beliau menyaksikan perlawanan skuad Melaka United (MU) berdepan PKNS di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil yakin skuad bimbingan E Elavarasan mampu memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super musim ini dengan kemampuan dan keupayaan pengurusan MUSA sedia ada ditambah dengan sokongan daripada penyokong bola sepak Melaka.

“Saya akan ambil tanggungjawab itu dan kita akan berbincang di peringkat pengurusan untuk melihat di mana potensi-potensi kita dalam meningkatkan lagi kedudukan pasukan dalam liga ini.

“Dalam masa yang sama kita akan membuat penilaian sama ada dari segi pasukan ataupun pengurusan itu sendiri.

“Dari segi bajet memang kita akan berusaha untuk cari lebih untuk bajet penajaan untuk pasukan ini dan saya yakin potensi kita bergantung juga kepada bajet yang kita usahakan, jadi kalau kita mahu meningkat jauh memang kita kena berusaha untuk mendapatkan bajet lebih baik. Saya akan menggunakan sepenuh kemampuan saya untuk menyokong usaha dari segi bajet,” katanya.