PEMAIN tenis berkerusi roda negara, Abu Samah Borhan bersedia untuk menghadapi dua saingan akhir acara tenis berkerusi roda lelaki temasya Sukan Para Asean kesembilan (APG) esok.

Beliau akan beraksi dalam perlawanan akhir acara perseorangan dan beregu.

Pemain berusia 32 tahun itu​,​ yang lumpuh daripada bahagian pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya pada 2006, berharap dapat menamatkan kemarau emas pada Sukan Para Asean di depan penyokong sendiri.

“Saya memang sudah cukup bersedia untuk penampilan kali ini. Sudah tentu saya mahu menukar warna pingat kepada yang lebih baik dan ia pastinya emas," katanya.

Dalam saingan perseorangan esok, beliau akan bertemu pemain Thailand Suthi Khlongrua dan kemudiannya bergandingan dengan Ariffahmi Zaquan Ariffin untuk perlawanan akhir beregu menentang Suthi Khlongrua-Wittaya Peemee.

Pada saingan terakhir round robin beregu lelaki di Pusat Tenis Nasional, Jalan Duta, hari ini gandingan Abu Samah-Ariffahmi tewas 3-6 dan 5-7 kepada Suthi-Wittaya.

Pada Selasa, Abu Samah dan Ariffahmi menewaskan pasangan Thai, Bonjob Suwan-Sunthorn Sridaeng 6-1, 6-3.

Malaysia juga berpeluang untuk memenangi pingat emas apabila Azman Hasan layak ke final perseorangan quad selepas menewaskan pemain Thailand Nattaporn Taosrisakul dengan 6-0, 6-2.

Beliau dijadualkan bertemu Sombut Yampapha, juga dari Thailand, dalam perlawanan akhir esok.

Malaysia memenangi pingat gangsa beregu lelaki apabila gandingan Mohd Yusshazwan Yusoff-Mohd Firdaus Ibrahim menewaskan pasangan Thai, Bonjob Suwan-Sunthorn Sridaeng dengan 7-5, 6-4. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGORBANAN untuk meninggalkan keluarga selama dua bulan bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 jelas membuahkan hasil buat Mohd Hisham Khaironi apabila memenangi pingat emas acara merejam lembing lelaki F12/13 (masalah penglihatan) hari ini.
  • SKUAD renang para negara hanya menambah dua emas pada hari ketiga Sukan Para Asean Kuala Lumpur menerusi Fredden Dawan dan James Wong pada aksi di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.
  • KONTINJEN negara beraksi hambar apabila hanya meraih empat pingat perak dan dua gangsa pada hari pertama acara renang Sukan Para Asean ke-9 (APG) Kuala Lumpur 2017 yang menawarkan 84 pingat emas keseluruhannya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.