JURULATIH PKNP FC, Abu Bakar Fadzim melihat aksi persahabatan menentang Kelantan di Kota Bharu, malam kelmarin, dapat mematangkan barisan pemainnya untuk menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Malah Abu Bakar turut memuji anak didiknya kerana mampu beraksi dengan baik dan memberi cabaran sehingga berjaya mengikat keputusan seri tanpa jaringan ke atas tuan rumah.

“Saya nampak pemain begitu bersemangat bermain di hadapan penyokong tuan rumah. Kita tahu Kelantan adalah pasukan yang hebat, mereka sudah lengkap berbanding PKNP masih dalam pembentukan sekitar 60 hingga 70 peratus.

“Tetapi pemain saya dapat memanfaatkan pertemuan ini dengan menyerap tekanan dengan suasana penyokong dan serangan pasukan Kelantan,” katanya kepada pemberita.

Pada perlawanan itu, PKNP FC berpeluang menguji seorang penyerang import Jepun, Masahito Noto namun pengendali itu jelas tidak berminat untuk mengambilnya untuk digandingkan bersama pemain kebangsaan Kemboja, Kheo Sokpheng.  

“Dari segi fizikal dan selaku penyerang utama, dia belum menepati ciri-ciri pemain yang kita mahukan. Kita ada Yeon Gil Sung dari Korea Selatan yang mengalami sedikit kecederaan dan dia mungkin diturunkan apabila bertemu Kedah nanti,” katanya.

Menurutnya, PKNP FC akan meneruskan dua siri persahabatan dengan berdepan Kedah dan MISC-Mifa selepas ini sebagai persiapan terakhir sebelum saingan Liga Super, bermula awal bulan depan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PKNP FC sedang menguji enam pemain import bagi mengisi dua lagi kuota pemain import pasukan berkenaan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.
  • PKNP FC mengesahkan kapten pasukan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi telah menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2020 sekali gus akan mengharungi saingan Liga Malaysia 2018 bersama pasukan itu.
  • PEMAIN pertahanan Perak, Muhammad Syazwan Zaipol Bahari meletakkan sasaran untuk membantu skuad The Bos Gaurus merangkul sekurang-kurangnya satu piala dalam liga bola sepak Malaysia musim depan.
  • “SYUKUR, PKNP FC akhirnya beraksi di Liga Super 2018.”