KEJOHANAN Hari-Hari Bola Sepak Tujuh Sebelah anjuran Pusat Pakaian Hari-Hari (PPHH) mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 120 pasukan.

Pengurus Besar Korporat dan Perhubungan Awam PPHH, Amilludin Latip berkata, kejohanan dua hari bermula Sabtu lalu itu melibatkan dua kategori iaitu bawah 12 tahun (B12) dan bawah 10 tahun (B10).

Katanya, kejohanan di Stadium Kajang itu menjadi platform bagi kanak-kanak bersukan selain medan mencungkil bakat.

“Kejohanan ini kali keempat dianjurkan PPHH dan sambutan diterima di kalangan peserta cukup hebat berbanding sebelum ini dengan hanya penyertaan sekitar 60 pasukan sahaja,” katanya.

Katanya, PPHH merancang menganjurkan kejohanan itu melalui konsep jelajah ke seluruh negara  di samping mewujudkan saingan untuk kategori bawah 8 tahun (B8) pada masa akan datang.

Dalam pada itu, ATTP Cougars menjuarai Kategori B12 setelah menang tipis 1-0 pada perlawanan akhir menentang Serdang Kickers FC.

Bagi Kategori B10 pula, ATP SPU Torpedo muncul juara setelah menewaskan Rembau FC, 2-0 dalam aksi final.-  Bernama