• Persatuan ubahsuai motosikal kapcai Motosikal EX5 dimiliki salah seorang ahli persatuan.
1 /

Modifikasi motosikal tidak sesulit kereta dalam soal peningkatan persembahan. Kebiasaannya modifikasi yang akan dibuat melibatkan block, piston, carborator, cam, head valve dan juga chain sproket.

Saiz racing block yang biasa digunakan adalah 53 dan 56 milimeter (mm). Sekiranya melibatkan modifikasi yang ekstrem ada juga individu yang menggunakan racing block bersaiz 58mm, 60mm malahan 64mm.

Itu antara maklumat yang boleh anda dapatkan tatkala menyelongkar Facebook komuniti Persatuan Modified Motosikal EX5 Malaysia.

“Page untuk Mat Rempit ke?” Soal penulis menerusi mesej di Facebook kepada pengasas komuniti, M Roslin Rasid (Roslin), 28.

Faktor masa dan jarak mengehadkan kami dari bertemu empat muka. Penulis di Shah Alam, M Roslin pula di Lahad Datu, Sabah.

“Eh, semua boleh. Mat rempit atau tidak, yang penting sukakan motosikal. Bukan motosikal EX5 pun boleh jadi ahli,” jawab Roslin, diselangi ikon ketawa.

Penulis senyum sambil membalas mesej, “Saja je bergurau. Maklumlah page berkaitan modifikasi motor, siapa lagi yang paling gemar kalau tidak kelompok itu.”

Keahlian bebas

Roslin tidak menafikan sebahagian 9,000 ahli yang like page Persatuan Modified Motosikal EX5 Malaysia kemungkinan adalah Mat Rempit.

Namun baginya, itu satu pendekatan positif untuk kita mendekati mereka. Pada masa sama, menggalakkan mereka menjalankan modifikasi sihat dalam kalangan anak muda.

“Page ini ditubuhkan atas dasar perkongsian maklumat mengenai motosikal tidak kira jenama dan kelas.

“Tiada tapisan ahli, namun Admin bertugas akan memastikan setiap post dan saranan yang dihantar ahli tidak menyalahi undang-undang dan menggerakkan ke arah aktiviti negatif,” katanya.

Memandangkan persatuan aktif hanya menerusi Facebook, tiada kekangan dan syarat keahlian melainkan sekiranya ahli page ingin menyertai aktiviti dijalankan.

Ditanya mengenai sejarah penubuhan persatuan, Roslin berkata, segalanya bermula sekadar suka-suka oleh dua lagi Admin yang aktif, Rizal Adjuri, 26, dan  Affendy Jamal, 28, yang masing-masing berasal dari Lahad Datu, Sabah.

“Saja nak kumpul penggemar Motorsikal EX5 dari seluruh negara, tapi kemudian ia ditubuhkan untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai modifikasi motor EX5, sama ada untuk tujuan drag race mahupun Bike Show.

“Grup ni menggalakkan ahli untuk menyayangi diri dan juga motor mereka. Elakkan rempit, elakkan modifikasi tanpa kebenaran undang- undang,” katanya.

Berkonvoi serentak

Menerusi page, urusan jual beli barangan motosikal menjadi lebih mudah dalam kalangan ahli.

“Macam mana nak kawal bunyi enjin motosikal yang bingit?” Penulis menyoal.

“Hanya perlu menggunakan ekzos yang sesuai. Tapi, kalau anda tanya bagaimana nak dapatkan bunyi yang tak bising, pakai sahaja ekzos standard...” balas Roslin.

Roslin berkata, ‘Konvoi Gimik Penubuhan Kelab’ bakal diadakan di Sandakan dan Kinabatangan, Sabah pada Disember ini.

“Selepas cadangan diumumkan, ada juga ahli di Semenanjung Malaysia yang nak serta. Jadi kami bercadang adakan konvoi serentak di seluruh negara.

“Buat masa ini, Admin sedang membuat persiapan tempat dan pendaftaran peserta untuk mengenal pasti kumpulan yang akan menyertai konvoi di Semenanjung. Jika sambutan menggalakkan, konvoi akan diadakan serentak seluruh negara,” katanya.

Selain Bike Show Merdeka yang diadakan di Sandakan, Ogos lalu, ahli persatuan turut menyertai Mini Karnival Bike Show di Kinabatangan.