SELEPAS pengenalan model Citroen Grand C4 Picasso Diesel sekitar November tahun lalu,  NAZA Euro Motors, pengedar rasmi jenama Citroen di Malaysia melengkapkan varian model MPV Perancisnya di pasaran tempatan menerusi pengenalan Citroen Grand C4 Picasso Petrol.

Turut dilancarkan serentak ialah model hatchback Citroen C3.


CITROEN GRAND C4 PICASSO PETROL

Di pasaran luar negara, model MPV taruhan Citroen berkenaan telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat global. Antaranya ‘Best Seven-seat People Carrier’, ‘Family Car of the Year’ dan ‘MPV of the Year’ di Anugerah Kereta Tahunan UK.

Kehadiran versi petrol ini akan menambah lagi pilihan model MPV keluarga di Malaysia. Menyentuh tentang luaran, Grand C4 Picasso petrol memiliki penampilan yang sama dengan varian diesel. Ia mengetengahkan imej mempesonakan selain memiliki ruangan kabin yang lapang.

Dari pandangan depan, ia menampilkan rekaan baharu dengan kehadiran lampu LED 3D, membuatkan ia tampak lebih bergaya dan menawan.

Ruangan dalaman pula menjanjikan aspek keselesaan buat pemandu dan penumpang, membuatkan seakan berada di dalam kokpit penerbangan kelas pertama.

Bagi keselesaan penghuni di barisan hadapan, Citroen menawarkan ciri pelarasan elektrik dengan fungsi memori, urutan dan lumbar untuk kerusi pemandu.

Ciri inovatif lain yang turut disediakan adalah paparan head-up berwarna di atas bilah lutsinar, keyless entry, sensor parkir depan dan belakang, brek parkir elektronik dan pengelap automatik.

Jika mahukan hiburan, C4 hadir dengan pelbagai ciri teknologi terkini seperti skrin sentuh tujuh inci, skrin panoramik HD 12 inci bersama sistem navigasi dan kamera undur. Harga jualan bagi model berkenaan ialah RM183,000.


CITROEN C3

Bagi model terbaru ini pula, sejak diperkenalkan pada 2002 hampir 3 juta unit sudah terjual dan menjadi antara model terlaris Citroen.

Dari pandangan luaran, C3 masih mengekalkan rekaan badan yang bulat tetapi dengan keistimewaannya yang tersendiri selain menampilkan cermin hadapan Zenith untuk memberikan pandangan lebih luas buat pemandu dan penumpang.

Ruangan dalaman juga cukup selesa. Bahagian simpanan barangan pula menawarkan keluasan sehingga 300L dan sesuai bagi mereka yang mahu membeli-belah.  

Menyentuh tentang powertrain, C3 dijana unit enjin 1.6L VTi yang turut ditemui pada model 208 dan DS3. Penghantaran kuasa ke roda hadapan dibantu dengan kotak gear automatik 4-kelajuan. Harga jualan bagi model terlaris Citroen itu ialah RM105,000.

Tempahan bagi model kedua-dua model sudah pun dibuka dan untuk melihat dengan lebih dekat model berkenaan bolehlah kunjungi pusat pameran Citroen berdekatan.

Sehingga kini, Naza Euro Motor memiliki enam pusat pameran Citroen. Antaranya Citroen Glenmarie di Shah Alam, Citroen Puchong, NAZA Automall di Petaling Jaya, Citroen Penang, Citroen Juru Auto City dan Citroen Johor Bahru.

Maklumat lanjut layari www.citroen.com.my.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :