• Wan Ahmad Wan Omar Wan Ahmad Wan Omar
1 /

PARLIMEN sudah dibubarkan Rabu lalu, ramai ternanti-nanti tarikh pembuangan undi, bagaimanapun perkara berkenaan tetap menjadi rahsia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sinar Harian berkesempatan untuk menemubual orang nombor dua SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berhubung isu ini. Ikuti temubual bersama Timbalan Pengerusi SPR, yang disediakan wartawan HASLINA KAMALUDIN dan ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD.
 
Bagaimana persiapan SPR menghadapi PRU13 sehingga kini?
Persiapan SPR sudah hampir selesai. Semua taklimat sudah selesai termasuklah taklimat ulangan yang berakhir akhir Mac lalu. Kini SPR sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab melaksanakan pilihan raya kali ini. Semua pegawai di 222 bahagian sudah bersiap sedia untuk menjalankan tugas mereka. Persiapan logistik juga sudah selesai termasuk juga pengangkutan, kertas undi dan semua kelengkapan menghadapi pilihanraya umum.

PRU13 ada kelainan iaitu penggunaan dakwat kekal, adakah sudah dihantar ke negeri?
Dakwat kekal masih berada dalam simpanan SPR, sentiasa di bawah kawalan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), kerana ia adalah bahan keselamatan. SPR tidak mahu ada perkara tidak diingini berlaku. 

Boleh Datuk jelaskan apakah tujuan mesyuarat khas diadakan?
Mesyuarat khas sangat penting di mana ia akan menetapkan jumlah daftar pemilih pilihan raya. Buat masa ini ia dipanggil induk dan sebagainya. Tetapi, selepas mesyuarat nanti, ia akan diganti kepada nama daftar pemilih. Ketika itu ia akan dipecahkan kepada daerah mengundi dan berapa pengundi.

Daftar pemilih akan dijual kepada parti politik dan orang awam serta sesiapa yang berminat. Daftar pemilih itu akan diserahkan kepada calon. Calon tidak ada alasan untuk mengatakan ia tidak dapat atau pun berbeza kerana ia sama kepada semua.

Apakah halangan utama bagi petugas SPR sepanjang kempen PRU13 nanti?
Kita akui, PRU13 cabarannya agak sengit. Tapi kita tidak anggap ia sebagai halangan sebaliknya cabaran. Cabaran sangat berbeza dengan lalu. Paling jelas adalah kehadiran media sosial yang digunakan parti-parti politik untuk berkempen. Perkara ini di luar bidang SPR.

Tetapi, kita telah mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) PDRM di mana mereka mempunyai kuasa khas untuk memantau semuanya.
 
Bagaimana SPR menghadapinya?

SPR mempunyai jaringan yang baik dengan PDRM. Kami telah menyerahkan perkara ini kepada PDRM dan SKMM. SKMM akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada aduan seperti melakukan siasatan jika wujud cubaan menghasut dan sebagainya. PDRM pula akan mengambil tindakan selanjutnya. SPR tidak ada kuasa menyiasat.

Mengapa PRU13 perlu diadakan secara serentak?
Kita bertanggungjawab kepada rakyat. Pilihan raya secara serentak dapat menjimatkan wang dan tenaga petugas. Pada hari mengundi, banyak sekolah akan dijadikan pusat mengundi. Jika diadakan secara berasingan, ia pasti mengundang banyak masalah.

Bilakah sebenarnya hari yang sesuai untuk mengundi?
Ia sesuai diadakan pada hari tidak bersekolah. Sama ada cuti hujung minggu atau cuti persekolahan. Banyak kebaikannya diadakan pada hari cuti ini kerana ia selesa bagi penggunaan kelas. Orang awam juga akan mudah memberi fokus semasa mengundi.

Bagaimana proses mengundi di Sabah terutama di Lahad Datu?
Tidak ada masalah di sana kerana waktu pengundian bukan dibuat pada masa darurat. Tambahan penduduk sudah boleh pulang ke kediaman masing-masing. SPR juga sudah menyediakan sepenuh keperluan kepada mereka terutama pengangkutan dan sebagainya.

Adakah SPR menghadapi kesukaran untuk tangani isu kertas undi?   
Kami sudah menerima beberapa maklumat mengenai kertas undi boleh dipilih. Sedangkan ia perlu diambil mengikut turutan. Inilah taklimat yang salah daripada sesetengah NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Ada yang mengajar menerusi ceramah termasuk ejen parti.

Mereka katakan, boleh memilih mana-mana kertas undi tetapi boleh pilih yang mana. Bukankah itu boleh mencetuskan kekecohan semasa mengundi. Sampai masa, ia merumitkan keadaan dan mengganggu kelancaran proses mengundi. Inilah perkara yang sangat tidak bertanggungjawab bagi mereka yang mengajar orang yang mengajar rakyat berbuat begitu. Hingga ada yang nak tidur di sebelah peti undi kerana tidak percaya pada SPR.

Bagaimanakah cara pengundian di hari mengundi nanti?
Setiap orang hanya boleh mengundi maksimum tiga minit sahaja. Mereka akan diberikan kertas undi yang mempunyai nombor siri. Nombor siri adalah untuk menentukan saluran mana mereka mengundi. Kerani SPR tidak boleh mencatat apa-apa dalam kertas tersebut.

Apakah beza undi di negara kita berbanding dengan negara luar?
Beberapa negara seperti Kenya, Zimbabwe. Mereka tidak ada sistem canggih macam negara kita. Sebenarnya sistem pengundian negara kita sudah cukup baik berbanding negara luar. Sewajarnya kita lebih matang dan tidak perlu dakwat kekal kerana kita ada sistem biometrik. Tidak perlu dakwat kekal. Ikhlas saya katakan, saya cukup pelik dengan ahli politik di negara ini. Kalau di luar negara, mereka gunakan dakwat kekal kerana tiada sistem sebaik kita.

Apakah sebenarnya undi pos?
Ia terbahagi kepada dua. Pertama ia diberikan kepada mereka yang bertugas secara rasmi pada hari mengundi iaitu petugas SPR, anggota polis, tentera serta petugas media. Mereka ini diberi kelayakan untuk mengundi lebih awal memandangkan tidak boleh menunaikan tanggungjawab mengundi biasa.

Kedua adalah undi pos diberikan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara. Contohnya penjawat awam yang bertugas di kedutaan, pelajar bersama pasangan mereka. Terbaru, undi pos diberikan juga kepada rakyat kita yang menetap di luar negara iaitu mereka yang sudah berdaftar sebagai pemilih.

Mereka boleh memohon undi pos dengan syarat mereka sudah berada di Malaysia dalam tempoh 30 hari sebelum Parlimen dibubarkan. Rekod di dalam pasport menunjukkan mereka ini ada di Malaysia.   
 
Bagaimana kertas undi dihantar ke luar negara?
Bagi mereka yang berada di luar negara, SPR akan menyemak daftar pemilih mereka dan setelah dipastikan, ia akan dihantar ke luar negara dengan menggunakan dengan bantuan diplomatik dan Wisma Putera. Contohnya rakyat Malaysia di United Kingdom ada kira-kira 1,000 orang.

Jika pengundi telah selesai dan pemenang sudah diumumkan apakah pesanan datuk untuk parti bertanding?
Pertama, parti politik tidak dibenarkan mengadakan perarakan kemenangan kerana itu boleh mencetuskan keadaan tegang dalam kalangan masyarakat. Kedua, semua calon terima hakikat, kalau kalah itu kalahlah, pengundi tak pilih anda, kalau menang tu menanglah.

SPR sediakan logistik, prasarana, pengundi yang meletakkan undi di dalam peti undi dan dikira di depan agen-agen , semuanya telus. Ketiga, ini perkara yang penting diumumkan terima keputusan dengan hati terbuka.

Harapan SPR untuk PRU13 ?
PRU ini perlu berjalan lancar dan berjaya itu kita harapkan, jadi jangan ada agenda untuk mengganggu dan merosakkan kelancaran. Kerana kita tidak tahu siapa menang kalah, lepas selesai baru tahu rakyat pilih siapa. Jadi semasa proses itu biar berjalan lancar sehingga jam lima petang.

Ini perkara perlu difahami dan dihormati semua pihak. Kedua, rakyat keluar mengundi supaya peratusan tinggi mencerminkan komitmen rakyat terhadap proses demokrasi. Kemenangan mana-mana calon berasaskan kepada jumlah rakyat yang keluar mengundi tinggi.

Secara purata 74 peratus yang keluar mengundi, pada PRU13 saya jangka lebih 80 peratus kerana banyak faktor, pertama daftar pemilih bersih nama orang yang meninggal dunia telah dikeluarkan.

Kedua, rakyat semakin sedar pentingnya mengundi rakyat sekarang begitu berminat dengan politik. Ketiga, parti politik begitu berlumba-lumba nak cari kemenangan jadi komitmen dan usaha mereka begitu tinggi sehingga mereka periksa rumah ke rumah nak cari pengundi, keadaan ini mendorong orang keluar mengundi.

Berapa peratus kenaikan daftar pengundi baru?
Sebanyak 2.3 juta iaitu, 21.69 peratus daripada keseluruhan 13,291,385 orang yang layak mengundi pada PRU13.

Apa pandangan Datuk dengan sistem demokrasi negara?
Pada pendapat saya, dari segi demokrasi negara kita maju, dari segi pelajaran kita bagus tetapi dari segi permainan politik kita masih ketinggalan. Sebab apa Malaysia maju sekarang ini, dari negara luar, negara kita paling cepat membangun, ramai rakyat tidak sedar, proses demokrasi yang kita pakai iaitu sistem memilih perwakilan mengikut kawasan bahagian pilihan raya.

Keadaan ini terbukti kita lebih cepat maju kerana setiap wakil yang dipilih menjaga kawasan dia untuk tujuan kawasan dan pengundi, jika tidak bagus bila PRU rakyat akan tolak jadi mereka ini akan berlumba-lumba tunjuk pembangunan, ini kebaikan kerana ini proses demokrasi, sebab itu kebanyakan kawasan membangun serentak kerana setiap kawasan ada orang jaga.

Jadi jika rakyat tidak menggunakan proses demokrasi dengan betul, pembangunan akan terbantut. Jadi rakyat perlu memilih wakil rakyat yang bekerja dan kerajaan yang mampu membawa negara ke tahap yang lebih baik itu maksud demokrasi. Sebab itu banyak negara sudah tolak komunisme, sosialisme dan memilih demokrasi.

Boleh ceritakan pengalaman Datuk berkhidmat dalam SPR?
Saya mula berkhidmat sebagai Setiausaha SPR pada Mei 1998. Setelah tujuh tahun saya diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi SPR sehingga sekarang. Saya sudah terlibat dengan PRU dan lebih 50 pilihan raya kecil (PRK).

Pengalaman pertama saya adalah mengendalikan PRK Arau, Perlis. Saya menimba banyak pengalaman melihat pilihan raya negara luar, dari negara maju, negara mundur, negara yang mempunyai ratusan juta pengundi dan sebagainya. Alhamdulillah, Malaysia antara terbaik, bukan saya nak puji diri sendiri tetapi itu yang saya rasa.

Apakah jenis aktiviti sukan yang Datuk selalu lakukan?
Saya suka main golf dan berjalan keliling kawasan perumahan saya.

Apakah makanan kegemaran Datuk?
Dulu saya suka makan kari utara, sebab kawan saya ramai orang utara, tetapi kini saya lebih suka makan sayur-sayuran. Sejak 1980 saya hanya bersarapan dengan Quaker Oat, Milo dan roti bakar, jadi kolesterol saya rendah.

Apakah filem kegemaran datuk?
Untuk rancangan TV saya menonton siaran sukan, National Geographic dan History.

Apa pandangan Datuk mengenai Sinar Harian?
Sinar Harian berjaya menarik satu peluang yang mana jika orang tidak beli mereka akan rasa tidak lengkap. Walaupun bukan menjadi surat khabar utama sesetengah pihak tetapi akhbar tambahan yang wajib dibeli. Akhbar Sinar Harian juga memberi fokus keadaan semasa yang mampu menarik minat pembaca.