SHAH ALAM - Syarikat pemaju hartanah SP Setia Berhad menempatkan 120 polis bantuan di kawasan projek perumahannya di Lembah Klang, Johor Baharu dan Pulau Pinang bagi meningkatkan kadar keselamatan di kawasan berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Liew Kee Sin berkata projek tanggungjawab sosial korporat itu bertujuan membina sebuah masyarakat lestari serta mewujudkan suasana kehidupan yang bebas daripada jenayah di kawasan perumahan.

"Melalui penubuhan pasukan polis bantuan ini, penduduk mendapat jaminan untuk menjalani kehidupan dengan selamat, di samping membantu meningkatkan taraf hidup mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pentauliahan polis bantuan SP Setia, yang dirasmikan pengerusi SP Setia Berhad Tun Zaki Tun Azmi di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Liew berkata SP Setia juga mengkaji kemungkinan mengambil hingga 500 anggota polis bantuan dalam tempoh terdekat bagi meningkatkan keselamatan di kawasan perumahan yang dimajukannya.

Sementara itu, Zaki berkata SP Setia akan mengadakan latihan dalaman untuk anggota pasukan itu bagi menjamin kelancaran proses asimilasi mereka.

Katanya anggota pasukan itu, yang menjalani latihan tiga bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), akan menikmati ganjaran serta faedah seperti yang diterima petugas SP Setia lain. - Bernama