ALOR GAJAH - Kesemua 45 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara akan melaksanakan sistem dwi-sijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan program baharu Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) menjelang 2016.
   
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Mara berhasrat melaksanakan program IGCSE dengan kerjasama Cambridge International Examination itu untuk membolehkan pelajar MRSM mengikuti pengajian di universiti luar negara lebih awal.
   
"Sehingga kini sebanyak 13 MRSM telah melaksanakan program IGCSE dengan MRSM Tun Abdul Razak di Pekan, Pahang merupakan perintis apabila melaksanakan program itu pada 2011.
   
"Dengan pelaksanaan program ini kami harap dapat menghantar lebih ramai anak-anak kita mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di luar negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Mara di MRSM Alor Gajah di sini, hari ini.
   
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa. Majlis itu turut dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada pelajar MRSM Alor Gajah dan anak yatim sekitar negeri ini.

Mohd Shafie berkata MRSM Kuala Kubu Baharu di Selangor dan MRSM Kuala Kelawang di Negeri Sembilan akan melaksanakan program itu tahun depan.
   
Mengenai program IGCSE, beliau berkata pengajaran dan pembelajaran IGCSE menekankan pembentukan kemahiran lisan dan praktikal serta mengambil pendekatan penyelidikan penyelesaian masalah, aplikasi kemahiran ilmu dan pelaksanaan projek secara individu juga berkumpulan.
   
Katanya program IGCSE diiktiraf peringkat antarabangsa sebagai setaraf dengan British GLSE dan International GCE 'O' Level Exams ditawarkan melalui University of Cambridge International Examinations yang diguna pakai lebih 9,000 sekolah di lebih 160 negara.
   
"Saya percaya pelajar MRSM mampu 'adapt' program ini dengan jayanya, pelajar bukan sahaja perlu mahir aspek bahasa Inggeris malah perlu bersedia untuk mempelajari bidang lain seperti sains dan tekonologi pada tahap tertinggi.
   
"Daripada sudut pengurusan pula, kami akan pastikan semua keperluan bagi menjalankan program ini dipenuhi dalam semua MRSM. Kami tidak seharusnya terburu-buru laksanakan program ini jika keperluannya tidak dapat kami penuhi," katanya.
   
Sementara itu Mohd Shafie berkata untuk memenuhi kehendak rakyat, tiga MRSM baru yang dibina dengan kos RM185 juta akan mula beroperasi tahun depan.
   
Beliau berkata tiga MRSM itu ialah MRSM Arau di Perlis, MRSM Sungai Besar di Selangor dan MRSM Kuala Kangsar di Perak. - Bernama