JURULATIH Kedah, Antonio Sisic tetap memberi pujian kepada kesemua pemain Hijau Kuning meskipun kecundang 1-2 di tangan Perak dalam aksi persahabatan di Alor Setar, Sabtu lalu.

Menurutnya, keputusan perlawanan tidak penting tetapi dia ingin melihat semangat dan kesungguhan dipamerkan anak didiknya.

"Saya memang puas hati dengan kesebelasan pemain yang beraksi pada separuh masa pertama untuk mengucar-ngacirkan pertahanan Perak serta menjaringkan satu gol untuk mendahului 1-0 setelah 45 minit perlawanan tamat.

“Kalau tidak kerana kegagalan Akmal Rizal Rakhli menepati sasaran menerusi tendangan penalti sudah pasti kedudukan menjadi 2-0 tetapi ini tidak menjadi keutamaan kerana kesungguhan dan permainan teratur dipamerkan adalah seperti yang saya harapkan," katanya dalam laman rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).