GEORGETOWN - Menggunakan gelaran 'Datuk Seri' yang kononnya dikurniakan Sultan Johor, seorang buruh bukan sahaja mampu memperdayakan orang ramai malah mengaut kira-kira RM7.3 juta hasil penipuannya bersama ahli sindiket.

Tindakan licik lelaki berkenaan bersama empat lagi rakannya dipercayai dilakukan sejak 2008 dan sehingga kini, dipercayai 13 orang menjadi mangsa.

Bagi meyakinkan mangsa, lelaki berkenaan mengaku memiliki pelbagai projek perumahan di Taman Setia, Bukit Jambul dan projek di Australia selain menerima dana dari sana bernilai 6.9 bilion.

Suspek juga mengakui mempunyai hubungan rapat dengan Sultan Johor selain memperdayakan mangsanya dengan menyamar sebagai pegawai bank dan peguam.

Difahamkan, lelaki itu pernah memberi bantuan kepada tabung wira Lahad Datu bernilai RM30,000 kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan cek berkenaan disampaikan sendiri kepada Ketua Polis Pulau Pinang pada April lalu.

Bagaimanapun, helah yang digunakan bersama pengikutnya tidak berpanjangan apabila berjaya dihidu polis dan ditahan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Kampung Gajah, Butterworth, Rabu lalu.

Dalam serbuan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Utara kira-kira jam 10.20 malam itu, lelaki itu ditahan bersama seorang lagi lelaki dan tiga wanita termasuk dua warga Indonesia serta seorang bayi lelaki berusia dua bulan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis turut merampas wang tunai RM361,000, tujuh keping cek bernilai RM500 dan empat kotak barang kemas mengandungi empat kalung emas dan tiga rantai emas bernilai RM200,000.

“Kita turut merampas pelbagai dokumen termasuk surat arahan mengeluarkan wang, buku bank, kepingan cek dan peralatan lain.

“Setakat ini polis menerima tiga laporan mengenai kegiatan penyamar Datuk Seri dan ahli kumpulannya. Saya percaya ramai lagi mangsa yang terlibat dengan penipuan ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun kini direman sehingga Selasa depan dan bayi berusia dua bulan itu akan diserahkan kepada rumah jagaan kanak-kanak  setelah mendapat perintah perlindungan interim (IPO).

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun  dan disebat atau denda.

Ia juga disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan atas kesalahan penyamaran dan Akta Pengubahan Wang Haram.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :