• Piya (tengah) menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan untuk beraksi pada pertemuan akhir Piala FA 2013 di Stadium Bukit Jalil, malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR Piya (tengah) menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan untuk beraksi pada pertemuan akhir Piala FA 2013 di Stadium Bukit Jalil, malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
1 /

KAPTEN Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi berjanji pasukannya akan menampilkan aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Bukit Jalil, malam ini.

Menurutnya, selaku juara bertahan, The Red Warriors akan memastikan trofi dimenangi tahun lalu tidak dibawa ke selatan tanah air.

Bagaimanapun, Badhri atau mesra dengan panggilan Piya akui bukan mudah berdepan JDT yang dibarisi rata-ratanya pemain bintang.

“Kita sudah sedia maklum bahawa JDT adalah pasukan yang kuat musim ini dan dibarisi pemain berkualiti.

“Apa yang perlu kami lakukan adalah bermain sebaik mungkin tanpa mengheret perlawanan ke masa tambahan,” katanya kepada Sinar Harian ketika melakukan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Perancang kreatif Kelantan itu berkata, mereka tidak menghadapi sebarang tekanan malah sudah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi mengharungi detik akhir perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Piya berkata, mereka akan berusaha mengawal semua pergerakan pemain Harimau Selatan terutamanya, dua tonggak utama JDT, Norshahrul Idlan Talaha dan Leonel Nunez.

“Mat Yo (Norshahrul) dan Nunez memiliki kelebihan sebagai penyerang. Disebabkan itu, saya katakan mereka adalah pemain yang perlu diberi perhatian oleh barisan pertahanan Kelantan pada perlawanan akhir nanti.

“Namun, kami tidak perlu gentar dengan Mat Yo dan Nunez kerana kami memiliki resipi untuk merantai pergerakan mereka,” katanya.