TABUR janji kosong, calon hanya pandai cakap, peraih undi tabur janji,  dan banyak lagi keluhan kata yang sering didengar apabila janji yang ditabur tidak ditepati.

Lebih mendukacitakan, wujud segelintir manusia yang sanggup menabur janji demi meraih kemenangan dan kedudukan. Ibarat menanam tebu di tepi bibir, pandai menabur janji manis tetapi tidak ditunaikan.

Janji ibarat hutang, melanggar janji dan tidak melaksanakannya adalah salah satu ciri tanda-tanda kemunafikan.

Sepertimana yang dijelaskan dalam Surah al-Nahl ayat 91, yang bermaksud, ”dan tepatilah Perjanjian dengan ALLAH apabila kamu berjanji dan janganlah kamu melanggar sumpah setelah diikrarkan, sedangkan kamu telah menjadikan ALLAH sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang kamu lakukan.”

Demikian penjelasan Ketua Ikatan Ulama dan Dai Se Asia Tenggara, Ustaz Muhammad Zaitun Rasmin. Katanya lagi, ‘uqud dalam ayat di atas adalah bentuk jamak dari kata aqdun, iaitu bererti akad atau perjanjian.

“Dalam kitab Aisaru Tafasir 1:586 menjelaskan, menurut Abu Bakar al-Jazairi, ‘akad adalah janji antara seorang hamba dengan Tuhan-Nya dan antara seorang hamba dengan sesamanya.

“Menurut al-Raghib akad itu ada tiga jenis, akad antara hambanya dengan ALLAH, akad antara hamba dan dirinya, dan akad antara seorang hamba dengan hamba yang lain,”katanya kepada Sinar Islam.

Sehubungan itu, Muhammad Zaitun mengingatkan, janji adalah hutang yang harus dipertanggungjawabkan dunia akhirat. Tidak melaksanakan janji akan menjadi sebab terhalangnya seseorang itu untuk masuk syurga dan akan mudah menjadi penghuni neraka.

“Kekuasaan ke atas negara adalah amanah yang sangat besar. Ia perlu dibayar dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Bakal pemerintah juga, diingatkan agar tidak mudah menabur janji hanya kerana nafsu untuk berkuasa.

“Sepertimana firman ALLAH dalam Surah al-Isra’ ayat 34, dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti diminta dipertanggungjawabkan kelak. Setiap manusia itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH SWT mengenai janji yang dilafazkan,”terang beliau.

Tambah beliau lagi, sudah menjadi kelaziman dalam sistem demokrasi, para calon pemerintah politik akan memberikan janji-janji untuk meyakinkan pengundi memilih mereka sebagai pemimpin.

Walau bagaimanapun, persoalan sama ada janji itu akan dilaksanakan atau tidak, ia bergantung kepada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Perlu dilihat kembali prestasi bakal pemimpin sebelum itu. Sekiranya mereka pernah berjanji, dan mampu melaksanakan sebahagian janji itu, maka pengundi boleh mempertimbangkan untuk memilihnya.

“Namun sekiranya calon itu masih baru, pengundi perlu melihat beberapa faktor lain. Adakah calon seorang yang berkemampuan, baik secara individu mahupun dalam kerja sepasukan.

“Faktor pendidikan dan pengalaman juga boleh diambil kira. Boleh jadi calon mempunyai pengalaman sebagai pemimpin dalam level-level tertentu, serta disusuli dengan penglibatan secara aktif calon dalam parti, NGO dan korporat,”katanya.

Yang pasti, ujar Muhammad Zaitun, adalah perlu menyerahkan setiap urusan pada pakarnya, iaitu individu yang sudah terbukti dan diyakini mampu untuk memimpin.

“Dalam urusan pemerintahan, kemampuan atau kepakaran seseorang itu merupakan perkara penting yang perlu diambil kira. Selain pemegang amanah kepada hak rakyat yang perlu dilunaskan, calon juga perlu bertanggungjawab kepada keamanan negara,”katanya.

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (Riwayat Bukhari-Muslim).

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Ahli A-Sunnah Malaysia (Gasma), Ustaz Abdullah Yasin menerangkan, sekiranya sudah berjanji tetapi tidak laksanakan, ia lebih cenderung kepada munafik.

“Syahadah itu ada tiga rukun, ucap dengan lidah, benarkan dengan hati tanpa ragu, ALLAH Tuhan kita, Rasul Nabi kita, dan tidak kurang pentingnya rukun yang ketiga, iaitu kita perlu amalkan apa yang telah kita janjikan. Bibir yang melafazkan syahadah itu tidak akan ragu-ragu untuk melaksanakan suruhan ALLAH dan Rasulnya.

“Sebab itu Rasulullah SAW, ketika menyebut tentang tanda-tanda orang yang munafik itu ada tiga, ketika bercakap suka bohong, bila berjanji suka mungkir, dan apabila diberi amanat, dia khianat.

“Secara ringkaskan, apabila berjanji dengan ALLAH, dengan Rasul dan sesama manusia, hatta berjanji dengan anak sekalipun, janji itu kita perlu kotakan. Apatah lagi jika kita ini seorang pemimpin, akan hilang kepercayaan rakyat jika kita mungkir janji,” katanya kepada Sinar Islam.

JANJI!

Janji adalah perkataan yang menyatakan tentang kesediaan dan kesanggupan untuk berbuat sesuatu. Janji itu juga adalah pengakuan yang mengikat diri sendiri terhadap suatu ketentuan yang harus ditepati dan dipenuhi. Semua janji yang tidak menyalahi syariat wajib ditepati dan ditunaikan. Sementara  janji yang mengandungi dosa atau sesuatu yang melanggar syariat, adalah haram dilaksanakan.

3 istilah janji di dalam al-Quran.

"Wa ’ada" : ALLAH telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh, (bahawa) untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.

"Ahada" : Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya." (Surah al: Mu’minun ).

"Aqada" :  Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu. Aqad (perjanjian) di sini mencakupi janji kesetiaan seorang hamba kepada ALLAH dan perjanjian yang dibuat oleh manusia dalam pergaulan sesamanya.