Pencarian bahan pornografi menerusi alam maya mencatatkan rekod yang sangat tinggi. Industri pornografi hari ini bagaikan sebuah kilang yang sentiasa memenuhi permintaan yang amat tinggi.

Founder Modul Goodbye Pornography, Mohd Fadhli Othman berkata, kemudahan WiFi pada telefon pintar, lambakan video lucah serta bahan bacaan seperti novel dan cerpen lucah yang mudah dimuat turun di internet juga antara faktor pendorong ketagihan porno berlaku.

Justeru, katanya, isu masalah seksual seperti pornografi ini perlu dibendung segera. Beberapa langkah harus diambil, sama ada ibu bapa, guru dan komuniti.

“Selain membekalkan anak-anak dengan asas agama yang kukuh, ibu bapa juga perlu mengajar mereka tentang pendidikan seks sejak dari rumah. Tujuan utama adalah untuk menyedarkan mereka tentang implikasi tonton video lucah serta mampu berkata ‘TIDAK’ kepada seks sebelum berkahwin.

“Di peringkat sekolah juga saya sarankan agar pihak sekolah termasuk PIBG berganding bahu menjalankan program ilmu atau seminar Latihan Dalam perkhidmatan (LDP) bagi menyebarkan mesej kesedaran dan pencerahan. Selain itu menyebar luaskan pengetahuan tentang akta-akta yang berkaitan seperti akta jenayah seksual dan akta kanak-kanak sedikit sebanyak memberikan pendedahan kepada guru agar dapat bertindak segera sekiranya terdapat aduan daripada murid terutamanya.

“Tidak dinafikan, tegur menegur adalah kunci kepada penyelesaian. Saya sarankan agar agensi-agensi di bawah badan kerajaan dan swasta kerap melakukan program mendidik komuniti agar masalah ini dapat dibendung segera,”katanya panjang lebar.

Ulas Fadhli lagi, pornografi ini tidak seperti dadah. Sekiranya seseorang itu ketagihan dadah, tanda-tandanya memang boleh dilihat. Tetapi tidak pada mereka yang ketagihan pornografi. Penagih Porno terdiri dari pelbagai latar belakang, sama ada seorang guru agama, hinggalah golongan berpelajaran dan orang biasa.

“Pada peringkat awal, seseorang itu menonton secara tidak sengaja. Kemudian cuba-cuba, terasa normal dan mula ketagih.  Pada tahap ini, perbuatan itu sudah tidak lagi dirasakan satu kesalahan dan dosa.

“ Lebih membimbangkan apabila rangsangan ini mula memberi tindak balas luar kawal terhadap orang sekeliling,”katanya yang kini aktif menjalankan kempen Modul Goodbye Pornography, di sekolah-sekolah seluruh negara.  

Tambah Fadhli, ketagihan ini boleh dirawat, sekiranya seseorang itu mula mengalami fasa penyesalan.

“Pada peringkat ini, perasaan malu perlu dikorbankan. Dapatkan nasihat daripada mereka yang berautoriti seperti kaunselor dan pakar psikologi. Usah dengar kata-kata hinaan orang sekeliling, sebaliknya bertaubat dan berusaha sebaik mungkin untuk keluar dari kepompong ketagihan tidak bermoral itu,”katanya.

Kawal Fitrah Nafsu

Fitrah manusia diciptakan dengan nafsu seksual, kerana itulah agama menggalakkan perkahwinan.

Begitulah perkongsian ringkas oleh pendakwah dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat.

Beliau yang juga penulis buku ‘Takluk Hati Pasangan’ terbitan Karya Bestari berkata, perkahwinan bukan sahaja sunnah, bahkan benteng terjadinya perlakuan seks bebas  (ibahiyyah) dan kegiatan pornografi yang boleh menjurus kepada perzinaan.

“Jangan memandang remeh dosa yang dilakukan bersendirian ini. Banyak kesan negatif yang bakal menimpa, antaranya kebarangkalian berlakunya perlakuan zina, keruntuhan maruah, kecurangan suami, kehilangan tarikan terhadap suami atau isteri, hubungan seksual menjadi dingin, kasih sayang mula pudar dan keruntuhan rumah tangga.

“Bagi kes suami yang ketagih porno, sebaiknya perkara seumpama ini tidak harus berlaku. Secara psikologi, isteri yang menjaga kecantikan dan melayani seksual suami, akan dapat mengelakkan gejala ini berlaku pada suami.

"Melainkan, isteri tidak memikul tanggungjawabnya sebagai isteri dengan baik. Begitu juga halnya dengan suami, ketagihan yang melampau ini membuatkan hubungan dan layanan kepada isteri mula menjadi hambar.

“Sebaiknya suami mahupun isteri harus mempunyai ruang yang banyak untuk bersama. Suami harus menghargai apa yang ada, kawal fitrah nafsu seksual dengan ilmu dan iman, serta elakkan terlalu ikutkan nafsu kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Buat isteri pula, layanilah kehendak fitrah seksual suami, peliharalah penampilan dan kecantikan, dan jangan biarkan suami mula rasa kesunyian dan kekosongan,”katanya.

Sehubungan itu. beliau berkata, terdapat empat perkara yang boleh diamalkan bagi membentengi diri daripada melakukan dosa ketika bersendirian.

1.Mendekatkan diri kepada ALLAH, dengan mengingati bahawa ALLAH sentiasa mengawasi dan melihat.

2.Banyakkan ibadah, “Seseorang manusia itu jika membaca al-Quran dan menghayati maknanya, akan menjadi benteng paling berkesan untuk melindungi dirinya daripada melakukan dosa.”

3.Elakkan bersendiri dan bergaul dengan orang yang baik-baik.

4.Banyakkan masa bersama pasangan untuk berkasih sayang dan memenuhi tuntutan fitrah seksual.