PENDEKATAN interaksi dengan Al-Quran sepanjang umrah 

Biarpun berapa kali pergi menunaikan umrah dan haji, ia memberi pengalaman berbeza bagi setiap orang. Apa yang penting adalah meningkatkan iman dan takwa yang memberi kesan dalam kehidupan untuk menjadi Muslim yang diredai dan dirahmati ALLAH SWT.

Bagi 15 jemaah umrah yang mengikuti pakej “Sirah & Surah Menuju Takwa”, anjuran Tradewinds Travel Service Sdn Bhd (Tradewinds) pada 17 hingga 28 Mac 2018 lalu, ini merupakan pengalaman pertama mereka dalam menghayati ayat Al-Quran yang diturunkan di Makkah dan Madinah melalui sesi tadabbur Al-Quran.

Tradewinds Travel Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tradewinds Corporation Berhad, dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menjalinkan usahasama untuk berkongsi misi mengangkat nilai mulia Al-Quran yang membawa kepada kejayaan ummah. Ini berdasarkan daripada Surah Al-Baqarah, ayat 1 hingga 5 melalui Quran, Infaq, dan Solat (QSI).

Penasihat Modul Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein sebagai pembimbing jemaah Sirah & Surah Menuju Takwa berkata, umrah adalah perintah ALLAH SWT dalam Al-Quran untuk dilaksanakan oleh umat Islam yang berkemampuan.

“Kita selalu bertalbiah “Labaik allahuma Labaik…” Ia seolah-olah panggilan daripada ALLAH SWT untuk menunaikan umrah. Apabila kita hendak memenuhi panggilan ALLAH SWT, kita perlu menyucikan hati dan membersihkan diri untuk menghayati perjalanan umrah.

“Asas utama kita menunaikan ibadah umrah untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT. Saya sudah beberapa kali menunaikan umrah, namun keistimewaan dalam pakej umrah Sirah & Surah Menuju Takwa, ia memberi pendekatan konsep tadabbur Al-Quran.

“Di sepanjang perjalanan umrah dari Madinah ke Makkah, jemaah dapat menghayati ayat Makkiyah dan Madaniyah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Secara langsung kita merasai suasana di tempat-tempat yang dimuliakan ALLAH dengan turunnya ayat Al-Quran. Contohnya bertadabbur Surah Al-’Alaq di lokasi Gua Hira’.

Kata beliau lagi, jemaah dapat merasai bagaimana perjuangan Rasulullah SAW untuk mengasingkan diri dan menerima wahyu daripada ALLAH SWT. Di Jabal Rahmah, ayat-ayat al-Quran berkaitan kasih sayang ditadabbur untuk dihayati jemaah.

Antara lokasi bersejarah dikunjungi dan bertadabbur ayat Al-Quran berkaitan termasuk di Masjid Quba’, Masjid Nabawi, Masjid Hudaibiyah, Taman Saqifah Bani Saidah, Bukit Uhud dan Jabal Abu Qubais.

Jemaah dapat menimba ilmu dalam perjalananan umrah Sirah & Surah Menuju Takwa melalui pendekatan berinteraksi dengan Al-Quran melalui tadabbur dan tazakkur, serta pengkisahan sirah yang ditulis para ulama.

Penghayatan umrah

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, YBhg Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga jemaah Surah & Sirah Menuju Takwa, berkata, umrah kali ini merupakan antara yang terbaik beliau pernah sertai.

“Kebanyakan kita melaksanakan ibadah umrah dan haji mengikut rukun, tetapi kurang penghayatan terhadap sirah di Makkah dan Madinah serta kaitan turunnya ayat Al-Quran.

“Kali ini, saya dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat ketika perang di Bukit Uhud selepas bertadabbur Surah Ali Imran ayat 165. Pengajaran yang diperoleh daripada sirah tersebut adalah kekalahan dalam Perang Uhud berlaku akibat tidak patuh arahan ketua.

“Ini bermakna begitu penting kita menghormati dan mengikut apa yang diarahkan oleh pemimpin dalam keluarga, organisasi mahupun negara untuk berjaya.

“Bertadabbur Surah Al-’Alaq di Jabal Nur, saya mengagumi Jibrail sebagai guru hebat. Apabila Rasulullah SAW mengakui tidak tahu membaca, Jibrail memeluk dan mengajarnya. Mengikuti umrah kali ini membuat saya tersentuh dengan ayat-ayat suci Al-Quran yang ditadabbur oleh Ustaz Safri.”

Beliau menyarankan mana-mana pakej umrah boleh menggunakan pendekatan tadabbur al-Quran sebagai pengisian rohani yang boleh memberi impak kepada nurani kita. Pilihan ayat-ayat al-Quran mengikut kesesuaian jemaah seperti keluarga, kumpulan korporat atau umum.

Terkesan di hati

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Puan Marhaini Yusoff yang peserta Sirah & Surah Menuju Takwa berkata, pengalaman mengikuti umrah kali ini sangat istimewa baginya kerana ia mendekatkan diri dengan Al-Quran di sepanjang perjalanan menunaikan ibadah di Tanah Suci.

“Apabila kita dapat berinteraksi dengan ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan di tempat tersebut, ini menyebabkan kita rasa tersentuh. Kita bukan sekadar melihat tempat bersejarah Nabi Muhammad SAW, malah perkongsian ilmu daripada sesi tadabbur dan tazakkur tersebut dapat dikaitkan dengan kehidupan kita.

“Sehingga hari ini, saya masih terkesan dengan kalam ALLAH SWT yang dipasakkan sepanjang berada di Makkah dan Madinah. Surah Al-Baqarah ayat 197 mengenai takwa menjadi tunjang atau kompas dalam kehidupan seharian kami.

Dengan ada misi meningkatkan takwa, kita dapat menunaikan ibadah Antara kenangan manis saya di sana adalah dapat khatam al-Quran di bumbung Masjidil Haram. Saya sarankan lebih ramai orang yang boleh menikmati perjalanan umrah dengan panduan al-Quran.”

Marhaini memberitahu Tradewinds telah merintis perjalanan surah, sirah dan Kalam Ilahi. Pada masa sama, beliau mengharapkan modul tersebut dalam diperluaskan oleh pihak lain termasuk Tabung Haji.

“Saya mengalu-alukan lebih ramai orang membawa misi al-Quran untuk pengisian umrah dan haji. Semoga jemaah memperoleh umrah maqbullah dan haji mabrur. Al-Quran merupakan kaedah sangat efektif untuk dijadikan landasan perjalanan kehidupan kita,” katanya.

Pengurus Jabatan Pengurusan Gudang, Bernas, Azlina Yassin, 43, bersama suaminya, Mohd Nizam Mat Rashid, 43, mengambil tindakan untuk meneruskan usaha berinteraksi dengan Al-Quran sekembali dari umran Surah & Sirah Menuju Takwa.

“Umrah bersama Tradewinds merupakan kali pertama saya dan suami dengan tujuan kami ingin membuat perubahan hidup yang lebih baik. Di Tanah Suci, saya bermohon kepada ALLAH SWT untuk diberi istiqamah.

“Alhamdulillah, kami mendapat kefahaman Al-Quran apabila diberi pendekatan tadabbur Al-Quran, berkaitan surah dan sirah. Sekembali ke tanah air, kami sepakat untuk meneruskan usaha mendekati al-Quran bersama keluarga.

“Kami sekeluarga kini berkumpul untuk membaca, menyemak bacaan, bertadabbur dan memahami tafsir bersama. Di pejabat, saya akan meluangkan masa 15 minit bersama Al-Quran, sebelum memulakan tugas setiap hari.”

Azlina mengakui untuk membaca Al-Quran belum tentu sebulan sekali, tapi kini beliau mampu menghabiskan satu juzuk dalam masa dua hari. Kini beliau dan suaminya mencari guru ngaji untuk memperbaiki bacaan Al-Quran, terutama dari segi tajwid.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej umrah bersama Tradewinds, “Surah & Sirah Menuju Takwa”, boleh layari http://www.twtravel.com.my