SHAH ALAM - Wali yang menikahkan anak perempuan bawah umur atas faktor kemiskinan tidak layak digelar wali.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ini kerana maksud sebenar wali adalah pelindung tetapi jika faktor kemiskinan menjadi alasan untuk mengahwinkan anaknya itu dia tidak layak untuk menjadi pelindung.

Bahkan menurut Mohd Asri, anak perempuannya itu boleh dianggap sebagai mangsa terhadap tindakan walinya itu.

Biarpun tiada paksaan dalam Islam untuk menikahkan anak perempuan, namun pelbagai dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan.

“Keadaan itu hendaklah dilihat dalam konteks sebenar pada tempat dan waktunya.

“Anak perempuan yang di bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dipersetujui tidak boleh dianggap rela,” katanya melalui laman Facebooknya.

Lihat dalam konteks yang betul

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, dalam konteks hari ini, umat Islam tidak harus menilai kepada satu mazhab sahaja kerana realiti dan cabaran kehidupan zaman ini berbeza berbanding dahulu.

“Sekali lagi ditegaskan, betapa perlu kita bersifat terbuka dalam menilai pandangan-pandangan agama sekalipun dari mazhab yang kita terbiasa dengannya. Islam itu hujah. Islam diutuskan untuk kebaikan manusia bukan untuk sebaliknya.

“Maka, segala nas, tafsiran nas dan pendapat dari apa aliran sekalipun, hendaklah dilihat dalam konteksnya yang betul. Jangan kita letakkan teks pada konteks yang salah.

“Kita tidak wajar terlalu terikat dengan sesuatu mazhab tetapi yang mesti kita lakukan berusaha memahami hujah-hajah para sarjana dari apa mazhab sekalipun selagi tidak menyanggahi al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.