“YA TUHAN kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami kepada kesesatan setelah engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, kerana sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi.” (Ali Imran: 8)

Sebulan sudah Ramadan meninggalkan kita. Ramai juga yang menanam azam, untuk terus istiqamah menghidupkan roh ibadah pada bulan-bulan seterusnya.

Namun sejauh mana legasi ibadah itu dapat diteruskan? Adakah tekad dan semangat itu mampu untuk bertahan atau terus hilang?

Hakikatnya, bukanlah mudah untuk meletakkan tekad agar budaya ibadat di dalam bulan Ramadan dapat diteruskan. Bahkan, untuk mengembalikan hati ke landasan takwa juga memerlukan kekuatan dan keazaman yang tinggi. Jika hati rapuh, dan ibadahnya hanya bermusim, sukarlah untuk membentuk hati menjadi Islam yang sejati.

Menurut Editor Kanan Karya Bestari, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Muhd Kamil, bukanlah mudah untuk melaksanakan semua tuntutan agama. Namun seseorang itu memerlukan perancangan yang baik agar dapat istiqamah meneruskan legasi Ramadan dalam bulan-bulan yang lain.

“Jika pada bulan ibadah lalu kita mampu untuk berada di dalam majlis ilmu lebih banyak dan kerap berbanding bulan biasa. Maka sayanglah sekiranya kita hanya mampu untuk meraihnya selama sebulan, sedangkan pada 11 bulan yang lain majlis ilmu di pandang sepi dan tidak dihadiri.

“Selain itu, solat juga merupakan ibadah penting dan wajib dalam hidup beragama. Dalam surah Hud ayat 114 juga dinyatakan tentang kepentingan menunaikan solat. Maka, usaha seseorang itu untuk menjadikan solat mereka lebih berkualiti adalah satu kemestian. Misalnya, berusaha untuk solat awal waktu tanpa bertangguh dan melengahkan masa.

“Solat pada awal waktu bukan sahaja menjadikan masa yang dikecapi oleh seseorang itu lebih lama dan berkat. Bahkan, banyak pekerjaan, dan urusan lain dapat diselesaikan dalam keadaan tenang dan tidak kelam kabut,”jelas beliau.

Solat jemaah

Melazimi masjid dan menunaikan solat berjemaah itu tidak kurang pentingnya. Amiro Safwan turut berkongsi, solat jemaah bukan sahaja dapat membangkitkan semangat dan kekuatan, malah dapat membantu memperbaiki kualiti dalam ibadah yang ditunaikan.

“Selain ia sebagai salah satu cara untuk kita memakmurkan rumah ALLAH sebagai rumah yang paling mulia di muka bumi. Solat berjemaah juga sangat berkait dengan aspek pembangunan umat, bahkan ia juga adalah kunci sebuah kekuatan dan hubungan persaudaraan sesama Islam.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi contoh ibadah lain yang boleh diikuti dan diteruskan, iaitu menyambung bacaan al-Quran seperti mana yang dilazimi dalam bulan Ramadan.

“Ramadan bulan diturunkan al-Quran. Di dalamnya juga dihiasi dengan aktiviti bertadarrus. Selalunya ia dilakukan setelah selesai solat sunat tarawih. Atau pun ada juga yang melakukannya selepas waktu asar sehinggalah hampir masuk waktu berbuka.

“Maka, apabila berlalu Ramadan, bukan bermaksud bacaan al-Quran kita juga berakhir. Sebaiknya teruskan lah ia sehinggalah ke Ramadan yang seterusnya. Begitu juga seterusnya. Amalan membaca al-Quran ini merupakan salah  satu cara untuk memperbaiki diri, seterusnya dapat dijadikan panduan umat Islam dalam kehidupan sehari-hari,” katanya.

Amalan lain

Kehidupan sebagai Islam itu akan lebih bermakna jika tindakan seharian dipenuhi dengan perkara-perkara tidak berfaedah. Mengubah cara berfikir serta mengetahui tujuan utama dihidupkan di dunia sedikit sebanyak dapat membantu seseorang itu hidup berpaksikan arah yang sebenar. Rentetan itu, beberapa tindakan boleh diambil, antaranya jangan tinggal sedekah, berdoa dan berkawan dengan orang yang baik-baik.

“ Untuk berubah dan istiqomah dalam ibadah, seseorang itu perlu kuat dan jangan putus doa. Merayulah, merintih dan mengharap agar ALLAH SWT terus membimbing kita agar menjadi orang baik. Ini kerana belum lagi pasti Ramadan yang akan datang mampu untuk kita kecapi.

“Selain itu, dengan bersedekah juga dapat membuatkan kita memahami erti syukur yang sebenar kepada Pencipta. Hulurkanlah bantuan kepada mereka yang memerlukan. Pemberian tidak tertakluk kepada nilai tertentu atau berapa banyak yang perlu kita keluarkan. Sebaliknya berikanlah semampu mungkin kepada sesiapa yang perlu. insyaAllah ia mempunyai saham yang besar di hari Akhirat.

“Seterusnya kerkawanlah dengan orang yang baik-baik. Hal ini dapat membentuk keperibadian kita menjadi lebih baik dan memperbaiki kelemahan yang ada dengan teguran daripada orang-orang yang baik. Bahkan ia sedikit pun tidak akan merugikan kerana mereka juga mendoakan kebaikan untuk kita,”katanya.