DR. HAMIDAH MAT terpanggil mengikuti badan bukan kerajaan (NGO),  memberi makan kepada gelandangan tanpa mengira batas bangsa mahupun agama, semata-mata atas semangat kemanusiaan.

Penglibatan ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada orang lain, tetapi juga tarbiah dan latihan yang menginsafkan kepada diri sendiri.

“Apabila kita menyertai NGO (Dapur Jalanan), saya dapat rasakan ia adalah  wadah atau tempat paling sesuai untuk saya menyumbang bakti kepada mereka yang memerlukan.

“Malah, lebih mengagumkan, golongan pelajar lah paling ramai terlibat dengan program amal ini. Mereka sanggup keluarkan duit sendiri untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Biarpun masih belum ada pendapatan tetap, namun usaha mereka untuk membantu itu amat disanjung tinggi.

“Ia sekali gus melahirkan kesedaran dan semangat untuk sama-sama turun padang dan menyerahkan apa sahaja yang mampu,”ujarnya.

Hamidah turut mengakui, pemilihan kawan yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama juga memainkan peranan penting dalam kehidupan harian.

“Jika kita berkawan dengan orang yang suka membuat kerja amal, lama kelamaan kita akan terdorong untuk melakukan hal yang sama. Begitulah sebaliknya, jika kita berkawan dengan orang yang suka melakukan kerja sia-sia,”katanya.

Dakwah Cara Sendiri

Tambah Hamidah lagi, budaya kesukarelawan harus di semarak dan dibangkitkan kembali dalam masyarakat Malaysia. Budaya menyumbang tanpa mengharapkan balasan ini harus ditanam dan dipupuk semenjak kecil.

“Saya juga terlibat dengan IKRAM. Banyak aktiviti dan program kemasyarakatan yang dianjurkan bersama. Sama ada sesama ahli mahupun untuk masyarakat luar tanpa mengira bangsa dan agama. Program IKRAM kebanyakannya bertemakan ilmu dan kebajikan. Bagi saya, ilmu yang ada perlu dikongsi dan bukan untuk disimpan sendiri sahaja.

“Malah, menerusi misi kemanusiaan bersama gelandangan yang kita sertai juga, banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diambil. Antaranya, menilai kesusahan diri sebenarnya lebih kecil jika nak dibandingkan dengan masalah yang terpaksa ditanggung oleh orang lain,”katanya.

 Menurut beliau, asas kepada kesedaran kesukarelawan itu adalah sifat hormat- menghormati antara satu sama lain.

“Setiap individu itu harus berusaha mengenal pasti potensi dan kelebihan yang ada, supaya boleh dimanfaatkan kepada pihak yang memerlukan.

Kelebihan itu perlu dimanfaatkan ke jalan yang mampu mendatangkan ganjaran kepada kita kelak,” jelas ibu kepada empat orang cahaya mata ini.

Ujian dan tentangan

Sungguhpun demikian, setiap usaha murni itu tidak akan terlepas daripada ujian dan tentangan. Namun, kritikan serta komen yang dilontar itu diambil sebagai kekuatan untuk menjadi lebih positif.

“Dapur Jalanan ( NGO) sentiasa memandang serius aspek kebersihan. Bahkan kami ‘Team Hygiene’ sedaya upaya memaksimumkan tahap kebersihan kawasan sepanjang aktiviti.

“Antara usaha yang kami jalankan adalah mengasingkan sampah, dan menghantarnya ke pusat kitar semula di Zero Waste Center , Universiti Malaya.

“Kami juga mengambil inisiatif membeli pinggan mangkuk untuk mengelakkan penggunaan polisterin dan barangan pakai buang. Ini bertepatan dengan aspirasi kami untuk menjaga alam sekitar selain dapat  memberikan keselesaan kepada gelandangan,”terangnya.

Titik permulaan

Menyentuh tentang titik mula penglibatannya, Hamidah berkata, kesedaran itu timbul ketika beliau dan keluarga berpindah ke United Kingdom (UK).

“Kehidupan saya biasa sahaja setelah pulang menamatkan ijazah sarjana muda Syriah di Jordan. Namun, selepas berpeluang ke UK bersama keluarga, ia memberi impak dalam kehidupan saya sebagai seorang ibu, isteri dan Muslimah.

“Pendedahan di luar negara membentuk persepsi berbeza terutamanya dalam hal kemanusiaan. Saya berpeluang berinteraksi dengan pelbagai kelompok masyarakat. Di sana kami disatukan dalam satu akidah. Walaupun kehidupan lebih terbuka, namun masih memegang identiti dan prinsip,” terang beliau.

Hamidah juga seorang yang aktif dalam beberapa program pendidikan ketika di UK.  Peluang menjadi ‘penolong guru’di Bowburn Junior School, Durham,  penasihat ko-kurikulum, pendidikan dan bahasa Arab di Pusat Pendidikan al-Amin Berhad dan  ‘tutor’ di al Haadiyah Learning Center di Middlesborogh, membekaskan pengalaman menguja kan dalam isu-isu pendidikan.

Kini, peranan beliau dalam isu-isu pendidikan menjadi lebih signifikan apabila menjadi tulang belakang suaminya yang baru dilantik sebagai menteri pendidikan Malaysia.