KEBIASAANNYA, ibu bapa cemerlang atau ibu bapa gagal dinilai dari segi pencapaian anak mereka. Rata-rata masyarakat beranggapan jika anak itu berjaya, maka berjayalah ibu bapa tersebut dan begitu juga di sebaliknya.

Tapi apakah modul keibubapaan untuk membentuk anak seperti yang diharapkan oleh kedua orang tuanya, apatah lagi di sisi ALLAH SWT?

Status ibu bapa merupakan anugerah Ilahi dengan kehadiran zuriat dalam kehidupan pasangan suami isteri. Oleh itu, al-Quran merupakan panduan keibubapaan paling efektif untuk dipraktikkan oleh ibu bapa dalam membimbing anak ke syurga.

Surah Luqman dari ayat 12 hingga 19 mengandungi panduan ibu bapa dalam mendidik anak. Antaranya, mendidik anak agar bersyukur dan jangan syirikkan ALLAH; ajar anak untuk berbakti kepada orang tua; didik anak supaya sentiasa berda dalam pengawasan ALLAH; perintah anak untuk mendirikan solat; mengajar anak berani dalam menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran; mengajar ilmu sabar sebagai kunci kejayaan; mendidik anak agar tidak sombong, berperawakan baik, dan mengajar pola komunikasi yang diajar oleh ALLAH dan Rasulullah SAW.

Tanggal 8 Julai lalu, Keramat #QuranHour 5.0 bertemakan #AyahkuHeroku telah mengadakan sesi tadabbur Surah Luqman yang disampaikan oleh Pengurus Latihan Akademi Sinergi Sdn Bhd, Ustaz Mohd Harfiz Hamzah, di Taman Tasik Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Program tersebut dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Yayasan Warisan Ummh Ikhlas (WUIF), Rumah Ngaji dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hadirin diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci dialunkan oleh Pembawa Panji Surah Luqman, Master Trainer Cordoba, Ustaz Ambya Abu Fathin dan Trainer Cordoba, Ustaz Ahmad Fauzi Ridwan dari Bandung, Indonesia.

Ambya berkata, “Sebelum membaca ayat al-Quran, marilah kita lembutkan hati dengan merasakan al-Quran sebagai al-huda atau petunjuk, dan yakini ALLAH yang melembutkan hati kita, insya-ALLAH.

“Petunjuk al-Quran masuk dalam diri apabila kita membuka hati dan fikiran. Orang menutup hati dan fikiran, samalah dengan mereka yang diajarkan atau tidak, dinasihatkan atau tidak, dan membaca al-Quran atau tidak, sama sahaja.

“Oleh itu kita lembutkan hati dengan membuka hati dan fikiran. Mulakan bacaan dengan taawuz,” katanya yang melantunkan bacaan ayat 1 hingga 11, Surah Luqman.

Banyakkan bersyukur

Mohd Harfiz berkata Surah Luqman patut diberi perhatian untuk mendapat panduan dalam mendidik anak. Ini bersesuaian dengan tema #AyahkuHeroku.

“Surah Luqman dimulakan dengan ayat “Alif Lam Mim”. Pengajaran ayat pertama yang disampaikan adalah saya tidak tahu mendidik anak, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.

“Harap kita mengambil pelajaran daripada apa yang ALLAH sampaikan dalam al-Quran. Mereka yang bergelar ayah diharapkan untuk mengambil al-Quran sebagai petunjuk yang bijaksana kerana ia datang daripada ALLAH SWT yang Maha Bijaksana.  Insya-ALLAH, urusan keluarga kita dimudahkan ALLAH.”

Ayat 12 menyebut ALLAH memberi kebijaksanaan kepada hamba-Nya, Luqman sebagai ayah untuk memberi pengajaran kepada golongan ayah. Si ayah perlu memberi perhatian kepada 4S iaitu syukur, syirik, syukur dan syirik pada ayat 12 hingga 15.

Kata Mohd Harfiz, kalimah syukur bermaksud seseorang itu menghargai sesuatu perkara. Jika hendak menjadi hamba bersyukur, walapun perkara yang dimahukan tiada, tetapi menghargai apa yang sedia ada.

Ayat 13 menyebut “Sesungguhnya mempersekutukan (ALLAH) itu adalah benar-benar kezaliman yang besar.” Analogi yang diberikan jika seseorang itu mempunyai ramai tuan yang memberi arahan berbeza lebih sukar daripada mengikut satu tuan.

Beliau menambah, tuan kita hanya satu iaitu ALLAH SWT. Dengan meletakkan ALLAH yang Satu, insya-ALLAH ahli keluarga tidak mudah stres. Ini kerana sejak awal mereka dipasakkan dengan sifat syukur.

“Dengan syukur, kita mudah menghargai keluarga, dan mudah berlapang dada” katanya. Dengan menjauhi syirik, maka menjauh juga stress.  

“Dalam ayat 13, 16 dan 17, perkataan “Ya bunaya” menunjukkan panggilan ayah dengan kasih sayang kepada anak. Ayat-ayat tersebut memberi penekanan terhadap tauhid atau keesaan kepada ALLAH.

“Si ayah berperanan untuk mengingatkan anak untuk mendirikan solat, meminta pertolongan dengan ALLAH, mengajak masyarakat untuk berbuat kebaikan dan cegah kemungkaran. Perbuatan tersebut boleh melahirkan sikap bijaksana,” ujarnya.  

Ajar berfikir

Menurut Mohd Harfiz, ibu bapa dan pemimpin yang bijak perlu rapat dengan ayat ALLAH yakni al-Quran. ALLAH SWT telah bersumpah, demi al-Quran yang penuh kebijaksaan, sebagaimana disebut dalam Surah Yassin ayat 2. Ini bermakna semakin rapat seseorang itu dengan al-Quran, dia semakin bijaksana.

“Kadangkala ibu bapa berasa sukar untuk mendidik keluarga. Oleh itu mereka perlu kembali kepada panduan ALLAH (al-Quran) untuk membimbing keluarga ke syurga, serta banyakkan bersyukur dan menjauhi syirik.

“Al-Quran mengandungi rumusan ALLAH yang memudahkan urusan hamba-Nya. Sesungguhnya ALLAH Maha Kaya dan Maha Terpuji. Ayat 20, 29 dan 31 dimulakan dengan pertanyaan.

“Apabila ayah mengajar anak untuk bertanya, ia secara langsung mendidik anak untuk, meningkatkan potensi diri dan menambahkan ilmu pengetahuan. Pada masa sama, si anak perlu berfikir ke arah mendekati ALLAH SWT,” ujarnya.

Di penghujung Surah Luqman ada mesej penting kepada umat manusia khususnya golongan ayah dan anak.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah pada hari yang ketika itu seorang ayah tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat menolong ayahnya walau sedikit pun. Sesungguhnya, janji ALLAH tu benar, maka janganlah sekali-kali kamu terpedaya dengan kehidupan dunia dan jangan sampai kamu terpedaya dengan penipu dalam mentaati ALLAH.” (Surah Luqman: 33)

“Mudah-mudahan Surah Luqman ini dapat dimanfaatkan untuk kita fikirkan kebaikan hidup di dunia semata-mata, tetapi kembali kepada ALLAH SWT dalam keaadaan husnul khatimah,” kata Mohd Harfiz.