PASANGAN kekasih lesbian (musahaqah) yang berusia 32 dan 22 tahun dihukum sebat di hadapan lebih 150 orang awam di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana cuba melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta di Dungun, April lalu.

Berikutan itu, isu sebatan menjadi polemik dan perbincangan masyarakat seluruhnya. Setiap daripadanya mempunyai pandangan berbeza. Ada yang berkata begitu dan ada yang berkata begini.

Pokoknya, undang-undang jenayah syariah melihat kepada aspek moral dan akhlak serta menjaga maslahah (kepentingan) agama Islam itu sendiri.

Hukuman sebatan yang terdapat dalam jenayah syariah melibatkan dua jenis kesalahan iaitu hudud dan takzir (hukuman yang ditetapkan pemerintah). Kesalahan hudud yang memperuntukkan hukuman sebat adalah bagi kesalahan zina, qazaf (menuduh perempuan suci berzina), dan meminum arak.

Manakala, hukuman bagi kesalahan jenayah syariah bagi Mahkamah Syariah di Malaysia diperuntukkan di bawah takzir. Maka hukumannya hanya terhad kepada denda, penjara dan sebatan sahaja.

Hukuman syariah didik ummah                

Secara umumnya, mahkamah syariah di Malaysia mengguna pakai hukuman di bawah takzir dalam menjatuhkan hukuman. Contohnya, kesalahan jenayah syariah dalam bentuk jenayah minum minuman memabukkan adalah boleh disabitkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya menurut seksyen 19 (1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Namun, jenayah syariah minuman yang memabukkan ini bukanlah satu kesalahan jenayah di bawah hukuman sivil.

Peguam Syarie, Syafiqah Abdul Razak berkata, dalam undang-undang sivil, zina akan menjadi satu kesalahan jika tiada elemen persetujuan dan diklasifikasikan di bawah kesalahan rogol.

 “Hukuman sebat paling sesuai dilaksanakan bagi kesalahan yang boleh mendatangkan mudarat yang besar kepada individu dan masyarakat. Contohnya, kesalahan musahaqah.

 “Hukuman sebat ini juga dilaksanakan di bawah undang-undang sivil. Antaranya termaktub di dalam kesalahan jenayah di bawah kanun keseksaan. Contoh kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan iaitu yang berhubung kesalahan merogol boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya kepada Sinar Islam.

Menurutnya, terdapat perbezaan yang jelas dan ketara antara sebatan menurut undang syariah dan sivil.

Beliau memberikan contoh seksyen 125(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 dan juga rujukan terhadap Akta Penjara 1995, Peraturan-peraturan Penjara 2000.

 JAGA TUJUAN SYARIAH

Hukuman di dalam undang-undang Islam ditetapkan demi menjaga maqasid syariah (tujuan syariah) iaitu kepentingan kehidupan yang sempurna seperti yang dituntut Islam.

Kepentingan umum ini bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah Al-Nahl ayat 64 yang menjelaskan jika ada perselisihan, maka rujuklah al-Quran sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang beriman.

Katanya, kehidupan manusia mesti diatur sesuai dengan fitrah manusia sendiri agar tidak melampaui batas-batas yang telah ditetapkan syarak.

“Antara perkara signifikan yang perlu diberi perhatian adalah tujuan hukuman sebat dilaksanakan.

“Di dalam Islam tujuan hukuman adalah untuk mendidik pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan. Selain itu, ia juga sebagai langkah pencegahan supaya kesalahan jenayah syariah ini tidak diulangi oleh pihak lain,” katanya.

 Beliau berpendapat, tujuan hukuman sebat di dalam syariah untuk menjaga kepentingan dan maslahah amah (kepentingan umum).

Jelasnya, hukuman sebatan yang dikenakan di mahkamah syariah ini selari dengan prinsip tujuan syariah itu adalah untuk menjaga kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

PENCEGAHAN AWAL

Beliau berkata, keharmonian agama Islam terpelihara apabila pencegahan awal diambil dengan melaksanakan hukuman yang selaras dengan hukum syarak iaitu dalam konteks sebatan ini adalah di bawah takzir.

“Manakala, sebatan di dalam sivil bertujuan untuk menghukum pesalah jenayah.

“Maka, kesan daripada sebatan sivil adalah lebih kuat dan menyakitkan. Lebih menyakitkan kerana pukulan tersebut akan dikenakan kepada bahagian- bahagian tertentu badan pesalah,” jelasnya.

TERBUKA DAN TARBIAH

Syafiqah berkata, sebatan bagi kesalahan jenayah syariah yang diadakan di dalam mahkamah terbuka adalah bertepatan dengan prinsip kepentingan umum di mana langkah pencegahan dan tarbiah (pendidikan) kepada masyarakat supaya menjadi iktibar dan pengajaran.

“Harus diingat walaupun sebatan dilakukan di mahkamah terbuka, ia masih menjaga maruah pesalah apabila pesalah dijatuhkan hukuman dalam keadaan menutup aurat,” katanya.

Katanya lagi, sebatan untuk kesalahan sivil dilakukan secara tertutup untuk menjaga kepentingan individu yakni supaya menjaga aib pesalah. Walau bagaimanapun, tiada pra syarat berhubung aurat pesalah.

Syafiqah berpendapat kepentingan umum adalah lebih utama dari kepentingan individu dalam aspek ini.

Beliau menegaskan, masyarakat  seharusnya melihat isu sebatan dalam konteks yang lebih luas dan melihat daripada aspek hukuman syarak, perundangan di Malaysia iaitu undang-undang syariah, undang sivil serta melihat keadaan di sesuatu tempat dan kesan kepentingan jangka panjang.

Katanya lagi, proses mendidik masyarakat dengan ilmu yang benar berhubung jati diri dan kembali kepada fitrah perlu diteruskan supaya kesalahan seperti ini tidak berulang.        

INFO:

SEBAT SYARIAH

1. Alat sebatan tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 cm.

2. Daripada aspek pegawai yang ditugaskan melakukan sebatan hendaklah seorang yang adil dan matang, menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah. Selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

3. Sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk.

4. Pesalah hendaklah diperiksa oleh Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah dalam keadaan sihat untuk menjalani hukuman itu.

5. Jika pesalah itu hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.

SEBAT SIVIL

1. Rotan yang digunakan untuk menyebat pesalah jenayah sivil adalah lebih besar berbanding dengan saiz rotan pesalah jenayah syariah. Bagi maksud hukuman di bawah Peraturan 131 (5) (a) Peraturan-peraturan Penjara 2000 ini, rotan yang digunakan untuk orang dewasa tidak boleh lebih daripada 1.25 cm garis pusatnya.

2. Menurut hukuman sivil, semasa menjalani hukuman, banduan diikat kaki serta tangan dalam keadaan berdiri pada palang yang disediakan dan dipegang pada kepalanya supaya tidak lari .

3. Menurut Peraturan 131 (2) Peraturan-Peraturan Penjara 2000, Sesuatu hukuman sebat tidak boleh dikenakan kepada banduan perempuan dan banduan lelaki berumur lebih daripada 50 tahun. Hukuman sebat dengan rotan hendaklah dikenakan pada punggung pesalah itu.