ULAMA dari Tunisia dan Maghribi sokong kempen World #QuranHour

Kembara Auliya’illah 2018 menampilkan ulama dari Tunisia, Syeikh Mohamed Bacher Yusof Al Barrah dan ulama dari Maghribi, Syeikh Dr Noureddine Cherkani Al Hassani dalam misi menjelajah ke tanah air buat julung kali untuk merapatkan silaturrahim antara umat Islam di Maghribi, Tunisia dan Malaysia.

Program yang bermula pada 3 April hinggal 16 Mei lalu dianjurkan oleh Iftah Resources dengan kerjasama syarikat Taj Travel, Pejabat Mufti Pahang, Taif Travel And Tours Sdn Bhd, Madrasah Ahbab Al Mustafa dan Yayasan Al-Hikmah.

Sepanjang tempoh tersebut, Syeikh Bacher Al Barrah dan Dr Noureddine Al Hassani telah berkunjung ke Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Projek Kembara Auliya’illah, Muhamad Hassan Zaid Ali atau lebih dikenali sebagai Sidi Imam di Maghribi menjadi penterjemah kepada Syeikh Bacher Al Barrah dan Dr Noreddin Al Hasani yang bertutur dalam bahasa Arab.

Pada 7 Mei lalu, delegasi tersebut berkunjung ke Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd khususnya Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen World #QuranHour yang akan diadakan pada 22 Ramadan 1439H bersamaan 7 Jun ini.

Syeikh Bacher Al-Barrah yang juga Presiden Universiti Sains dan Sufi berkata, perjalanan tersebut bertujuan untuk menyebarkan mesej mahabbah ALLAH dan cinta Rasulullah SAW.

“Walaupun penyertaan kami dalam Kembara Auliya’illah, tetapi janganlah menyangka kami sebagai wali ALLAH. Berdoalah agar kita semua menjadi kekasih ALLAH iaitu orang yang mendapat inayah dan diuruskan oleh ALLAH dalam segala hal.

“Kekasih ALLAH ialah orang yang mencintai ALLAH dan menjaga hak-hak ALLAH. Orang sebegini hatinya menjadi tenteram. Mohon doa kepada ALLAH untuk mendapat martabat yang tinggi di sisi-Nya.”

“Sepanjang berada di negara ini, kami bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat yang menyukai dan prihatin terhadap ilmu dan ulama. Ramai yang meraikan majlis al-Quran dan zikir.

“Saya melihat banyak sekolah pondok dan madrasah yang mempunyai ramai anak muda seperti di Terengganu dan Pahang. Mereka mengambil berat tentang pembinaan akhlak, etika dan adab.”

Beliau berpendapat terdapat banyak persamaan antara Malaysia dan Afrika Utara iaitu Maghribi dan Tunisia dalam mengadakan majlis ilmu. Jika tiada kekangan bahasa, beliau berasakan lebih dekat dengan masyarakat tempatan di sini. Ini merupakan pengalaman hebat kepada bangsa yang mencintakan Rasul dan al-Quran.

 

Suburkan rahmat

Syeikh Bacher Al-Barrah merupakan tenaga pengajar di Universiti Al Zaitun. Univerisiti tertua tersebut  mempunyai 28 cawangan di Tunisia dan 8,000 persatuan yang aktif dalam menghidupkan al-Quran. Ini melibatkan hampir 200,000 pelajar.

“Saya tertarik melihat program World #QuranHour yang mampu menghimpunkan masyarakat untuk berinteraksi dengan al-Quran.

“Mukjizat al-Quran dapat dilihat apabila kini ramai orang berlumba-lumba membuat madrasah, yayasan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk memartabatkan al-Quran.

“Mereka yang membaca al-Quran mempunyai kehidupan yang tersusun, hati bertenaga dan kerja lengkap dilakukan dengan penuh hikmah. Masalah tekanan boleh ditangani dengan al-Quran.”   

Dr Noureddin Al Hassan berkata beliau mewakili negara, rakyat dan pemimpin Maghribi untuk membawa kasih sayang kepada Malaysia.

“Kami membawa risalah dan kiriman ulama Maghribi sama ada yang masih hidup atau yang telah pergi melalui penulisan dan kata-kata mereka yang kami terjemahkan di kembara ini.

“Saya berharap mesej tersebut dapat memberi impak yang baik kepada akal, akhlak dan etika dalam kehidupan seharian. Medium dengan mempelajari ilmu, membaca al-Quran, berzikir dan bersalawat dapat menyuburkan rahmat kepada seluruh manusia.

“Apa yang penting, program kerohanian tersebut dapat menjauhkan daripada pemikiran yang tidak ketahuan dan sebarang perkara ekstrem,” katanya.

Syeikh Bacher Al-Barrah dan Dr Noureddin Al-Hassan menyambut baik kempen World #QuranHour yang akan diadakan pada 22 Ramadan 1439H bersamaan 7 Jun ini. Mereka berhasrat untuk turut sama menggerakkan program berinteraksi dengan al-Quran di negara masing-masing.

Sebagai tanda sokongan terhadap kempen World #QuranHour, Dr Noureddin Al Hassan dan imam Masjid Seksyen 7, Shah Alam, Ustaz Ahmad Shazili Abdullah atau lebih dikenali Imam Shazili merakamkan lagu bertajuk “Quran Kalamullah” baru-baru ini.