RAMADAN adalah madrasah untuk melatih dan mendidik nafsu agar menjadi orang yang bertakwa. Selain diampunkan dosa-dosa yang telah lalu, ia juga dapat melahirkan rasa diri sentiasa diawasi.

Menurut pensyarah dari Kluster Pendidikan & Sains Sosial OUM, Dr Hamidah Mat, bulan Ramadan itu merupakan peluang yang ALLAH SWT sediakan pahala yang berlipat ganda bagi mereka yang ikhlas beribadah.

“Berpuasa itu adalah ibadah yang sulit bagi seorang hamba dengan Tuhannya. Perlu meninggalkan perbuatan yang biasa dilakukan pada hari biasa, menuntut kesabaran dan kejujuran yang tinggi dalam beribadah.

“Untuk memperoleh ketakwaan yang merupakan asas utama seorang Muslim  berkualiti, seseorang itu perlu tanamkan keikhlasan ketika beribadah,”ujar Dr Hamidah Mat kepada Sinar Islam.

Manusia yang dididik oleh syariat Islam akan sentiasa menahan diri untuk melakukan sesuatu yang dilarang sekalipun berkemampuan untuk melakukannya. Inilah antara tarbiah Ramadan yang meresap dalam jiwa setiap anak Adam yang benar-benar menghayatinya.

Hamidah Mat turut menjelaskan, keimanan kepada ALLAH bukan perkara yang boleh diambil mudah. Keimanan yang tinggi menuntut pembuktian dengan perlakuan serta amalan termasuklah penghayatan terhadap ibadah yang dilakukan.

“Seorang mukmin yang sejati itu akan dapat merasakan pemerhatian ALLAH pada setiap masa. Konsep itqan yang dianjurkan oleh Islam menjadikan seseorang mukmin itu berasa takut akan pemerhatian ALLAH berbanding pemerhatian manusia.

“Mungkin juga kerana manusia itu lebih percaya dengan apa yang mereka nampak dengan mata kasar, berbanding pemerhatian ALLAH yang memerlukan keimanan yang jitu untuk sentiasa menghayatinya.

“Untuk melahirkan perasaan takut dan sentiasa diawasi, seseorang itu perlu suburkan keyakinan dengan ilmu akidah tauhid yang telus, serta ibadah yang berterusan.”jelas beliau panjang lebar.

Ujar beliau lagi,  tidak salah untuk tingkatkan ibadah dalam bulan Ramadan, momentumnya mestilah lebih jauh, konsisten dan istiqamah sehingga Ramadan akan datang. Malah Ramadan adalah masa terbaik untuk seorang Muslim menjadikan  batu loncatan untuk meningkatkan ibadah dan membuat perubahan pada diri, sikap dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

Persiapan di awal Ramadan

1.Rohani yang bersedia, teruja untuk meningkatkan ibadah demi meraih taqwa. Serta mempunyai fizikal yang sihat untuk berpuasa.

2.Merasakan perlu merebut peluang untuk meningkatkan keimanan dalam bulan Ramadan.

3.Perbanyakan ibadah sunat, serta memahami ilmu yang benar mengenai sunnah puasa.

4.Suasana yang merangsang kemahuan untuk melakukan ibadah seperti di rumah, pejabat, kawasan kediaman, masjid, dan sebagainya.  Suasana yang dimaksudkan adalah sistem sokongan daripada orang sekeliling, termasuk keluarga, rakan-rakan di tempat kerja, dan lain-lain. Adalah beruntung bagi mereka yang dapat mengintegrasikan kehidupan rutin biasa dengan usaha-usaha positif untuk menghayati Ramadan. Roh Ramadan perlu disemarakkan dengan pelbagai aktiviti kreatif seperti iftar beramai-ramai, iktikaf dan sebagainya. Sebagai hadiah, ALLAH Taala menyediakan taqwa sebagai habuan yang tertinggi dan memasuki syurga dari pintu khusus untuk orang yang berpuasa iaitu pintu yang dikenali sebagai al-Rayyan.