Memanfaat pengalaman sebagai bekas pelajar pondok, serta tuntutan untuk beramal, pasangan suami isteri Dr Haji Mohd Isa Hj Hamzah dan isterinya YM Tengku Dr Amirah Tengku Ismail, mengambil inisiatif menubuhkan UNAIS, sebuah pondok pengajian khusus untuk golongan dewasa mendalami ilmu agama.

Pusat pengajian dewasa yang terletak di Kampung Sungai Buah, Dengkil Selangor ini dilengkapi dengan pelbagai prasarana termasuk dewan, bilik pengajian, surau, dan tempat riadah. Ia dijangka siap sepenuhnya Disember 2019.

Pengerusi Pondok Unais, Dr Hj Mohd Isa Hj Hamzah berkata, pondok pengajian dewasa ini terbuka kepada semua warga emas, lelaki dan wanita, serta pasangan masing-masing.

Tambah beliau lagi, selain sihat tubuh badan, syarat penginapan adalah atas kemahuan dan kerelaan diri sendiri untuk menuntut ilmu dan beramal ibadah.

“Pondok ini fokus untuk pengajian dewasa, sebolehnya saya tidak mahu menggunakan nama warga emas. Sebab kebanyakan mereka yang datang, walaupun dah pencen tapi masih sihat dan bersemangat untuk meneruskan pengajian.

“Saya merupakan bekas pelajar pondok di Pulau Pinang dan Kedah. Suasana pembelajaran itu yang mendorong saya untuk mewujudkan satu suasana pondok moden untuk pengajian dewasa,”katanya.

Mohd Isa turut menyatakan, apabila seseorang itu meninggal dunia, setiap amalan jariah di dunia akan dibawa ke akhirat. Lebih-lebih lagi sedekah dalam bentuk wakaf, dan al-Quran yang dibawa ke alam barzakh sebagai peneman. Justeru, Unais membuka peluang penginap pondok moden dapat belajar tanpa had di sini.

“Selesai menunaikan solat Subuh, kelas akan bermula dengan pengajian al-Quran, iaitu membaca, memahami dan menghafal.

“Target saya, peserta yang menginap di Unais mesti menghafal, tak banyak sedikit pun sudah memadai, apapun ia bergantung kepada kemampuan peserta. Faktor umur bukanlah penghalang, selagi kita berusaha, insyaAllah beberapa surah akan dapat kita ingat dengan baik,”jelasnya.

Katanya lagi, selain pengajian al-Quran, pelajar juga turut mengikuti beberapa kelas pengajian lain seperti hadis, feqah, bersama tenaga pengajar tetap Unais dan penceramah jemputan, yang kebanyakannya terdiri daripada pensyarah universiti tempatan.  

Wakaf tunai

Jelas beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, UKM ini, pondok pengajian Unais ini sebenarnya berkonsepkan wakaf tunai.

“Sejak diperkenalkan beberapa bulan lalu, sambutan yang diberikan oleh pewakaf adalah menggalakkan. Lebih kurang 46% pewakaf sudahpun bersama kami. Untuk fasa pertama ini, Unais mempunyai 90 buah bilik, 42 daripadanya sudahpun  ditempah.

“Setiap bilik ini mempunyai nilai tertentu, sekiranya pewakaf berkemampuan, boleh wakafkan satu unit bilik mengikut nilai-nilai yang ditetapkan. Sama ada pewakaf mahu tinggal di sini dengan membayar kadar sewaan tertentu, atau mewakafkan kepada individu lain untuk tinggal dan mengaji di sini.

“Bayaran sewaan yang dikenakan ke atas peserta yang menginap dan mengaji di sini adalah untuk menampung kos penyelenggaran Unais, termasuklah utilitis, perkhidmatan, api, air, dan kos pengajian, termasuk juga bayaran kepada tenaga pengajar,”terang belaiu.

Walau bagaimanapun, Unais turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan wakaf mengikut kadar yang mereka mampu.

“Menggunakan duit wakaf yang diamanahkan oleh pewakaf kepada kami, beberapa bilik sudahpun dibina. Akan datang, beberapa binaan tambahan lain yang menempatkan beberapa bilik dengan nilai tertentu juga akan dibuat.

“Untuk fasa kedua ini, lebih kurang 80 buah bilik lagi akan dibina untuk keperluan peserta. Bahkan kami juga memperuntukkan 1/2 ekar tanah lagi untuk dibangunkan, bagi tujuan para peserta bercucuk tanam, menternak ikan dan beberapa aktiviti riadah lain,”katanya.

Menurut anak jati Negeri Sembilan ini, beberapa kemudahan lain turut disediakan, antaranya, restoran, surau dan juga dewan besar untuk program-program tertentu anjuran Unais.

INFO!

3 jenis pewakaf

  1.  Pewakaf yang ingin menetap.
  2.  Pewakaf yang tidak menetap ( wakaf untuk ibu bapa, suami atau isteri yang telah meninggal dunia).
  3. Menetap sementara.

Ingin berwakaf?

Facebook: Pondok SgBuah

Emel:pondoksgbuah@gmail.com.

Tel:  Dr Haji Mohd Isa Hj Hamzah ( 0193372790)