SETIAP yang berlaku sekeliling kita adalah petanda dan peringatan daripada ALLAH SWT untuk difikirkan dan diambil pengajarannya.

Pendakwah, Prof Madya Dr Mohd Noor Mamat berkata, ALLAH SWT telah menjelaskan perihal petanda dan peringatan itu bukan sekali tetapi berkali-kali dalam firman-Nya.

Katanya, kebanyakan ayat dijelaskan ALLAH SWT kebiasaannya dikaitkan dengan sifat orang berakal, yang berfikir,  ada mata hati dan sebagainya.

"Bagi mereka yang sentiasa tafakur dan tadabur apa sahaja yang berlaku, sentiasa terpahat di minda mereka bahawa akan ada petanda dan peringatan tersirat dalam setiap ciptaan dan ketentuan ALLAH SWT.

"Kadangkala timbul rasa hairan di minda saya, kenapa ada yang suka dan gemar cari perkara atau peristiwa pelik, barulah dikaitkan dengan peringatan dan amaran daripada ALLAH SWT, sedangkan setiap perkara berlaku mengandungi elemen kehebatan yang pelik jika kita berfikir," katanya.

Menurutnya, hakikatnya sama ada penglihatan kita nampak sesuatu peringatan atau tidak dalam sesuatu kejadian, ia bergantung kepada hati kita sama ada mengingati ALLAH SWT atau berada dalam keadaan lalai.

Baru-baru ini, ribuan penduduk kawasan Puchong gempar dan cemas apabila merasai gegaran dan dentuman guruh kuat dalam tempoh agak lama kira-kira jam 8 malam.

Gegaran berkenaan turut dirasai penduduk sekitar Cyberjaya dan Putrajaya, malah turut dikongsi netizen di media sosial. Turut mengejutkan apabila tular rakaman objek misteri bersama kilat seolah-olah membentuk cahaya menuju ke langit.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata, kaedah ganjaran dan balasan daripada ALLAH SWT didatangkan dalam pelbagai cara.

"Ada balasan yang dibalas segera di dunia, dibalas di dunia dan juga di akhirat, atau dilewatkan balasan di akhirat.

"Konsep ganjaran dan balasan tetap berlaku, cumanya dalam kaedah dan bentuk yang pelbagai.

"Tidak ada dosa khusus yang dijanjikan balasan tunai di dunia ataupun dibalas di akhirat sahaja, ia bergantung kepada kehendak ALLAH SWT," katanya.

Menurutnya, kadangkala kita diperingatkan jangan menderhaka kepada ibu bapa kerana balasannya akan diturunkan ALLAH SWT secara tunai di dunia, tetapi ada juga balasan ditangguhkan sebagai azab di barzakh dan akhirat nanti.

Katanya, seperti meninggalkan solat juga disebut sebagai dosa yang akan dibalas secara tunai di dunia, sebahagiannya dalam kubur dan juga di akhirat.

Malah katanya, sering juga disebut, berbuat tidak baik di Makkah juga akan dibalas secara tunai.

"Apa pun, kita perlu sentiasa ingatkan diri agar sentiasa takut dengan balasan azab daripada ALLAH SWT," katanya.