SHAH ALAM - Tabung Haji (TH) dan Malaysia Airlines (MAS) dilihat begitu efisien dan sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatannya dalam setiap sudut.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, semasa berada di Nadwah Haji, beliau berkesempatan bertemu dengan Mufti Mesir, Shawqi Allam yang turut menzahirkan rasa kagum dan memuji jemaah haji Malaysia dan pengurusannya.

Menurutnya, inilah yang  diharapkan saban tahun dan juga pada tahun-tahun mendatang di mana proses islah dan tajdid islah ke arah yang lebih baik sentiasa menjadi agenda tahunan TH.

"Dalam pada itu, melalui pemerhatian saya semasa pulang ke tanah air, saya melihat MAS  melalui kakitangannya telah menzahirkan perubahan yang amat baik menyantuni setiap jemaah dengan penuh ihsan termasuk yang tua, veteran dan yang kurang sihat.

"Salah seorang krew MAS memulakan dengan memohon maaf atas sedikit kelewatan dan membaca doa safar. Inilah sunnah Rasulullah SAW," katanya dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Zulkifli berkata, beliau sempat mencatat pandangan itu ketika dalam perjalanan pulang menaiki kapal terbang pada Isnin lalu apabila melihat pramugari turut mengumumkan waktu solat.

Katanya lagi, amat sopan dan sesuai apabila pakaian pramugari menutup aurat dengan sifat keislaman dan budaya ketimuran.

"Mereka juga dilihat menjadi pemudah cara dalam apa jua kehendak penumpang khususnya isu arah kiblat solat, tandas, makanan dan sebagainya.

"Cadangan kami juga supaya MAS dan mana-mana penerbangan lain dapat mengekalkan perubahan yang dilaksanakan," katanya yang gembira dengan layanan mereka dari Hotel Movenpick TH hingga pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).