ISU politik dan pemerintahan amat berkait rapat dengan amanah. Sama ada ianya amanah dari rakyat kepada pemerintah, mahupun amanah dari ALLAH kepada manusia yang telah dipilih untuk menjadi pemimpin.

Para Khulafa al-Rashidin telah meninggalkan contoh yang baik lewat penabalan mereka menjadi khalifah. Mereka telah merealisasikan konsep akauntabiliti sebagai titik tolak utama tata kelola kerajaan mereka. Sebagai contoh, Saidina Abu Bakar telah menyuruh rakyat mentaatinya jika beliau benar, dan mengingkarinya jika beliau tersilap.

Jikalaulah para Khulafa al-Rashidin dan para sahabat tidak lepas daripada kritikan, apatah lagi individu lain. Persoalan samada yang memegang tampuk pemerintahan itu adalah ulama ataupun sesiapa sahaja bukanlah alasan untuk tidak ditegur.

Bahkan, menjadi pemimpin tertinggi juga bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati dan bersikap maksum daripada melakukan kesilapan. Seorang pemimpin itu bertanggungjawab mengendalikan urusan kenegaraan dan memimpin rakyat mengikut prinsip kepimpinan Islam, seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Menjelaskan tentang pengutamaan yang perlu dinilai bagi seorang pemimpin itu, Ketua Unit Kajian Rumah Ngaji, Tuan Fazrul Ismail menjelaskan, seseorang pemimpin itu perlulah seorang yang adil, serta meletakkan ALLAH sebagai segala-galanya di dalam kehidupan.

Katanya lagi, konsep kepimpinan dan memilih pemimpin itu juga turut dijelaskan dalam surah al-Qasas ayat 26 iaitu kuat, dan juga amanah serta mempunyai integriti.

“Setiap umat manusia itu boleh menjadi pemimpin. Namun ada beberapa faktor yang perlu dinilai dan diambil kira. Di peringkat individu, barangkali seseorang itu boleh memimpin dirinya, namun apabila di peringkat ramai, dia menjadi lemah dan gagal  membina sistem untuk memimpin mengikut acuan yang ditetapkan agama,” katanya.

“Setiap kalian adalah pemimpin, yang bertanggung jawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang penguasa yang memimpin manusia (rakyat) adalah pemimpin, dan dia bertanggung jawab terhadap mereka.” ( Riwayat al-Bukhari no. 2554)

Islam gariskan kriteria

Katanya lagi, kriteria penting yang perlu ada, apabila seseorang itu dilantik dan memohon sesuatu jawatan, adalah hafizul alim iaitu mempunyai ciri integriti dan kompetensi dalam kepimpinan yang diamanahkan, sepertimana yang dinyatakan oleh Nabi Yusof ketika meminta memegang jawatan sebagai Menteri kewangan, dalam surah Yusof.

“Islam menggariskan pemilihan seseorang pemimpin itu perlu mengikut kriteria yang nyatakan, dalam masa yang sama seseorang itu perlu melalui proses mesyuarat dan perbincangan khas, dan bukannya dipilih oleh orang tertentu. Keputusan pula dibuat melalui persetujuan syura.

“ Contoh kepimpinan pada zaman sahabat, adalah khalid al-Walid, beliau seorang yang kurang menghafal al-Quran namun tangkas di medan perang. Beliau dilantik kerana keberaniannya, dalam masa yang sama beliau juga seorang yang amanah. Ketangkasannya itulah yang menarik perhatian Rasulullah untuk memilih beliau sebagai pemimpin,”jelas beliau.

Menurut Fazrul lagi, kepimpinan Rasulullah SAW juga boleh dijadikan contoh terbaik. Baginda bukan sahaja meletakkan al-Quran itu di kedudukan yang teratas, bahkan turut melantik beberapa penasihat yang berani dan amanah.

“Seorang pemimpin itu perlu bersyukur dan segala fakta perlu disemak dengan teliti agar ianya tepat dan sahih. Sepertimana Rasulullah SAW yang begitu berhati-hati dan tidak tidak menerima maklumat daripada orang yang mengumpat dan pembawa fitnah.

“Seseorang itu juga harus menitik beratkan keimanan dalam kehidupan. Jika dalam diri, iman itu tidak dianggap penting, amanah itu juga akan gagal. Begitu juga jika orang yang dipimpin itu tidak mementingkan iman. Maka akan terjadilah kesukaran untuk memimpin,”katanya.

Islam tidak larang berpolitik

Sementara itu, ketika merasmikan Simposium Siyasah Syari’ieyah dalam Konteks Peradaban Politik Masa Kini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Haji Othman Mustapha turut menjelaskan, Islam tidak pernah melarang umatnya berpolitik. Namun perlu mentadbir kehidupan bersesuaian dengan kedudukannya sebagai Khalifah ALLAH SWT di muka bumi. Mentadbir dan berpolitik dalam kerangka Islam tidakkan sama dengan pendekatan politik barat acuan Machiavelli, yang menghalalkan apa jua cara demi matlamat dan kuasa.

Sebagai contoh, bagaimana kita melihat kemunculan al Ghazali dalam konteks kenegaraan mencari keseimbangan duniawi dan ukhrawi, serta menekankan prinsip amar makruf nahi mungkar.

“Teori kenegaraan yang dibawa oleh al-Ghazali turut mengutamakan perpaduan moral iaitu adab, adat, etika dengan kekuasaan. Pemimpin itu perlu memiliki moral yang baik demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat dunia dan akhirat.