SOALAN: Bagaimana untuk menjadi pemilik harta yang bertanggungjawab kepada waris?

Rata-rata permasalahan pengurusan harta pusaka yang berlaku berpunca daripada sikap pemilik harta itu sendiri yang semasa hidupnya tidak merancang pembahagian harta pusaka dengan cara yang betul. Sedangkan pemilik harta sebelum itu telah bersusah payah bekerja siang dan malam mengumpul harta hingga bertahun-tahun lamanya dan memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

Sepatutnya pemilik harta wajar menyediakan perancangan harta terutamanya dari segi dokumentasi supaya waris-waris dapat mewarisi harta yang ditinggalkan dengan mudah dan cepat selepas mereka meninggal dunia.

Apa akan jadi jika perancangan pembahagian harta pusaka tidak dilakukan semasa hidup?

1.Harta pusaka boleh menjadi beku dan terbiar.

Sehingga kini, difahamkan terdapat puluhan bilion harta pusaka yang tertunggak, beku dan tidak diketahui pemiliknya. Puncanya, kerana kerana pemilik harta tidak membuat perancangan pewarisan harta pusaka pada masa hayatnya. Waris-waris yang ditinggalkan pula tidak mengetahui kedudukan harta pusaka pemilik harta. Akibatnya, perwarisan harta pusaka tidak dapat diagihkan kepada mereka yang berhak. Lebih buruk lagi, harta pusaka tersebut tidak dimanfaatkan dan terbiar begitu sahaja.

2.Harta pusaka tidak dapat digunakan dengan segera.

Jika perancangan pembahagian atau proses perwarisan harta pusaka telah diuruskan dengan baik semasa pemilik harta masih hidup, proses tuntutan yang panjang dan rumit dapat dielakkan. Tahukah anda proses pembahagian pusaka memakan masa sekurang-kurangnya empat bulan hingga dua tahun untuk diselesaikan (kadangkala lebih dari itu). Itupun bergantung kepada kerjasama waris-waris dan pengetahuan waris ke atas harta-harta pusaka si mati. Jika adanya perancangan awal, waris-waris akan dapat menikmati dan menggunakan harta yang ditinggalkan dengan segera. Harta-harta pusaka tersebut dapat digunakan untuk menguruskan jenazah si mati, membayar hutangnya, menunaikan wasiat yang ditinggalkan dan seterusnya bakinya dibahagikan kepada waris yang layak untuk manfaat mereka. Bayangkan kalau yang ditinggalkan itu adalah isteri yang tidak bekerja dan anak-anak yang masih kecil lagi? Sudah tentu keperluan nafkah mereka yang segera itu tidak dapat dilakukan.

3.Waris-waris yang memerlukan harta pusaka tidak dibela.

Sungguhpun Islam telah menyediakan kaedah pembahagian secara faraid yang adil kepada waris-waris yang layak, tetapi sebagai seorang pemilik harta yang juga sebagai ayah atau penjaga, kita semestinya tahu siapa dalam kalangan waris-waris kita (anak, isteri dan ibu bapa) yang ‘lebih memerlukan’ harta berbanding yang lain. Ada waris yang ditinggalkan dalam keadaan yang sudah berharta dan tidak kurang juga ada yang ditinggalkan dalam keadaan hidupnya kurang sempurna. Jadi dengan menggunakan instrumen perancangan harta pusaka seperti hibah dan wasiat, pemilik harta boleh memberikan kepada waris yang lebih memerlukan.

4.Memungkinkan wujudnya pertelingkahan sesama waris.

Kita biasa melihat di media-media dan di sekeliling kita berlakunya perbalahan perebutan harta pusaka. Ia didorong oleh sifat tamak, hasad dengki dan tidak berpuas hati melihat waris yang lain mendapat harta yang lebih. Padahal sebenarnya sebahagian waris-waris tidak mempunyai pengetahuan ilmu berkaitan faraid dan perancangan harta pusaka. Bagi mengelakkan perkara sebegini, sewajarnya pemilik harta merancang perwarisan harta semasa masih hidup lagi. Bahagikan seadil-adilnya kepada waris-waris yang layak. Pada masa sama, didiklah waris-waris dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi supaya tidak mempunyai sifat tamak dan hasad dengki.

Bagaimana cara membuat perancangan harta semasa hidup?

a.Senaraikan maklumat berkaitan harta sama ada harta alih dan tak alih.

Simpan semua geran atau perjanjian sewaan yang ada. Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik. Simpan juga ‘cover note’ atau polisi takaful/insurans yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih tadi, ini penting supaya baki hutang pembiayaan tadi dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah. Semua dokumen yang berkaitan harta alih perlulah disimpan seperti buku akaun, penyata pelaburan dan polisi. Jika ada nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi, catatkan supaya memudahkan waris membuat sebarang tuntutan atau urusan. Untuk akaun simpanan, jika ada kad ATM, bolehlah dicatatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada.

b.Senaraikan maklumat berkaitan hutang.

Selain maklumat berkenaan harta, pemilik harta jangan lupa untuk mengenalpasti semua hutang yang masih ada. Tidak kira hutang dengan Allah seperti zakat, badal haji, fidyah dan kaffarah atau hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan. Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik. Sebaik-baiknya, hutang perlu diselesaikan semasa hayat masih ada. Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki. Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan.

c.Senaraikan maklumat berkenaan waris.

Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, pemilik harta perlu menyenaraikan semua waris yang ada. Waris-waris yang perlu disenaraikan adalah anak-anak, isteri, ibu dan bapa. Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut. Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari, walaupun mereka tinggal berjauhan, mereka masih mempunyai hak ke atas harta pusaka yang akan ditinggalkan. Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia). Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera supaya tidak berlaku drama-drama pertikaian selepas kematian nanti. Begitu juga dengan anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan. Setiap waris adalah berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan.

d.Drafkan pembahagian harta

Langkah yang paling penting ialah bagaimana pemilik harta menggunakan instrumen-instrumen perancangan pembahagian harta pusaka. Antara instrumen-intrumen yang boleh digunakan adalah:

Wasi/penama – Melantik wasi/penama yang akan bertindak sebagai pentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka selepas kematian nanti.

Hibah – Memindahmilik/menghadiahkan harta kepada mana-mana waris atau bukan waris, individu lain atau organisasi.

Wasiat – Pemilik harta mengikrarkan untuk mewasiatkan harta tanpa melalui pembahagian faraid. Jumlahnya terhad kepada 1/3 harta sahaja dan bukan kepada waris. Sekiranya lebih dari 1/3 atau kepada waris, ia tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris lain nanti.

Amanah – Menyerahkan harta kepada pemegang amanah yang akan bertanggungjawab melaksanakan amanah dan melindungi harta pusaka daripada tuntutan pihak lain.

Wakaf – Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan ke arah untuk kegunaan umum. Contohnya mewakafkan tanah untuk dibina masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Jumlah harta yang diwakafkan sekiranya selepas kematian adalah tidak melebihi 1/3 daripada nilai kesemua harta yang ditinggalkan.

Faraid – Kedah pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum syarak. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada.

e.Dapatkan khidmat dan nasihat profesional.

Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan yang sah. Untuk menghasilkan dokumen yang sah memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang. Di sinilah pemilik harta boleh melantik Majlis Agama Islam Selangor sebagai pihak berautoriti untuk bertindak sebagai wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta pusaka.

f.Sediakan peruntukan kewangan.

Apabila memerlukan khidmat profesional untuk menyediakan dokumen-dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan, sudah semestinya memerlukan kos. Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya. Walaupun kos terpaksa dikeluarkan, ketahuilah bahawa kos yang dikeluarkan ini mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan kos mengurus harta pusaka yang terpaksa waris-waris keluarkan jika tiada perancangan awal dibuat.

g.Maklumkan perancangan pembahagian kepada waris atau orang yang boleh dipercayai.

Langkah ini dilakukan bagi memberitahu waris atau orang yang dipercayai supaya menghubungi wasi, pemegang amanah atau pentadbir yang telah dilantik jika berlaku kematian oleh pemilik harta. Perancangan yang bijak yang telah dilakukan sebelum ini akan dapat membantu waris-waris seterusnya mereka boleh menikmati harta pusaka dengan penuh kesyukuran dan mengekalkan hubungan erat silaturrahim dalam keluarga.