SHAH ALAM - Sebagai seorang Islam, pakaian adalah satu prinsip yang memang termaktub dalam al-Quran dan Hadis yang tidak boleh dinafikan haknya.

Sebagaimana yang telah dipelajari, diketahui dan difahami, aurat wanita merdeka di dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah (muka) dan telapak tangan, termasuk dalam telapak tangan adalah bahagian dalam telapak tangan. Dan hal itu juga jelas ketika di luar solat.

Pendakwah, Atriza Umar berkata, sewajarnya tuntutan menutup aurat ini tidak perlu dipersoalkan atau menjadi polemik yang membingungkan.

"Tidakkah timbul rasa kasihan apabila melihat wanita Islam kita tidak melaksanakan perintah ALLAH SWT?

"Mungkin ada yang akan berkata, terpulang pada diri masing-masing. Ikut suka dialah. Siapa suruh cari kerja begitu. Carilah kerja lain. Dan pelbagai lagi kata yang dilontarkan seakan, membiarkan mereka terus begitu dan begitu tanpa memikirkan solusi terbaik," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, siapa yang perlu kita pertanggungjawabkan apabila isu gangguan seksual itu terus berleluasa.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Biro Kesenian dan Kebudayaan AWAN Nasional berkata, mengenai aurat yang ‘dibualkan’ di Parlimen tempoh hari, perlu disepakati agar ia menjadi satu dasar yang baik untuk kita semua. Bukan sahaja ‘pandangan mata’ dapat dipelihara, tetapi maruah wanita itu sendiri terjaga.

Katanya, sewajarnya dasar kerajaan mengenai etika berpakaian untuk Muslimah ini perlu diubah dan sistem yang sesuai perlu diwujudkan supaya memberi laluan kepada Muslimah mengamalkan kewajipannya.

"Tentunya melalui hal ini, ia sedikit sebanyak menjaga maruah Muslimah, di samping satu usaha mengelakkan perkara yang tidak diingin terjadi dan terus berleluasa.

"Suka saya memetik bicara  Ketua Muslimat Pas Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusoff: "Sebagai seorang Islam, bagi saya sama ada ahli-ahli Parlimen atau rakyat Malaysia yang beragama Islam dan beriman kepada ALLAH, sepatutnya perintah agama ini jangan dipermainkan"," kongsinya.

Menurutnya, agama Islam selaras dengan fitrah manusia. Selama fitrah tersebut masih suci, tidak dinodai dengan maksiat, maka menjaga aurat adalah daripada pembawaan manusia sejak lahir, sebagaimana Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa ketika terdedah aurat mereka kerana terpedaya memakan buah larangan, segera menutup kembali aurat dengan dedaunan syurga sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Al-A’raf ayat 22.

Beliau berkata, etika pemakaian Muslimah sewaktu bekerja dan berada di luar rumah perlu dijelaskan agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Katanya, semoga ini menjadi satu titik tolak dan permulaan yang baik untuk menokhtahkan perkara yang selama ini tidak dapat dibendung yang hebat berleluasa, seperti gangguan seksual ini.

"Tentu kita sebagai seorang Islam yang beriman, mengharapkan sesuatu pembaharuan daripada kerajaan hari ini mengenai isu ini, kerana ia bukanlah isu remeh dan picisan sepertimana tanggapan sesetengah pihak dan perlu dicari solusinya segera demi menjaga kepentingan dan martabat wanita Islam dengan tata susilanya," katanya.