SEMPENA mood Aidilfitri yang masih ada pada Syawal ke-17 ini, nampaknya topik Sinar Islam kali ini sesuai dibincangkan untuk direnung kembali.
Mungkin masih ada ruang-ruang kosong yang perlu diisi dengan kemaafan dan kemaafan yang bagaimana anda berikan? Benar-benar daripada hati atau sekadar di bibir sahaja?
Semaklah diri masing-masing kerana Ketua Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia, Prof.Madya Dr Firdaus Mukhtar berpesan, sayangilah diri anda kerana anda berhak berasa tenang.
“Kemaafan itu mudah dipinta tetapi yang nak memaafkan kadang-kadang sekadar di mulut, tidak di hati.
“Tidak memaafkan masa lepas, merugikan setiap detik anda pada masa sekarang. Kalau anda sendiri tidak memaafkan diri sendiri, mana mungkin orang lain boleh melakukannya? Sayangilah diri anda. Anda berhak berasa tenang.
“Sukar sekali apabila dikupas bab kemaafan ini. Kalau ada sesi terapi yang menyentuh topik kemaafan macam-macam yang dikongsikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, ada pelbagai alasan menyebabkan sukarnya kemaafan diberi hingga ada kemaafan yang sekadar di bibir saja.
“Ada yang mengatakan kesalahan itu teruk sangat, di luar batasan norma seorang manusia. Ada yang mengatakan tak mahu minta maaf selagi pesalah itu tidak meminta maaf. Ada yang dah malas nak minta maaf dek kerana berulang kali juga kesalahan yang dilakukan, lagi dimaaf lagi naik lemak katanya.
“Ada juga yang lembut hati. Mudah cara fikirannya, baru saya menceritakan kepentingan maaf  dalam memperbaiki isu emosi dan simptom yang dialami, terus saja mereka memaafkan atau meminta maaf.
“Sehinggakan, ada juga yang memaafkan walaupun kisah yang berlaku begitu tragis, ada yang hingga melibatkan darah dan maruah. Bagaimana ini terjadi?,” katanya.
Jelasnya lagi, pakar neurosaintis mengesan jumlah bahan kelabu yang jauh lebih besar dalam meditator di hippocampus bagi pemaaf.
“Lebih banyak perkara kelabu dalam otak lebih mudah seseorang itu memupuk emosi positif, stabil tingkah laku dan mudah memaafkan.
“Tetapi bahan kelabu ini bukan genetik atau bersifat kekal dan ia boleh dilatih melalui proses meditasi dan relaksasi,” katanya.
Tambahnya, dalam aspek keagamaan juga dilihat lagi mudah seseorang itu memaafkan orang lain atau meminta maaf, lebih mudah seseorang itu menjalani kehidupannya.
Boleh maaf tapi susah lupa
Orang lain mungkin mudah untuk katakan, ‘maafkan sajalah’ tapi bagi tuan punya badan yang merasa perlu fikir berkali-kali
Firdaus berkata memaafkan serta melupakan sebenarnya konsep yang berbeza dan sekiranya sukar dibezakan atau difahami, individu dinasihatkan merujuk terapi profesional untuk memahami konsep tersebut.
“Ada yang mengatakan mereka yang melakukan kesalahan itu tidak layak dimaafkan. Ada yang berpendapat boleh maafkan tapi sukar melupakan. Ini kerana istilah’ forgive and forget’ sering dipermainkan.
“Dalam sesetengah fahaman, tidak memaafkan orang lain seumpama membawa bebanan yang sia-sia. Tempat yang dituju lambat tiba dan beban yang dibawa pula tidak berguna,” katanya.
Firdaus yang juga Jawatankuasa International Muslim Mental Health 2018 ada menggunakan analogi, lagi sukar memaafkan diri sendiri atau perkara lepas, seolah-olah anda menggenggam pisau tajam atau memijak anak tangga yang berpisau.
Di mana setiap langkah yang anda teruskan dalam kehidupan ini atau lagi kuat rasa marah dan dendam itu, lagi parah dan berdarahlah kaki atau tangan anda itu. Yang sakit anda, bukan pesalah itu.