Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Malaysia & Palestin #QuranHour di kompleks Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, 4 April lalu.

Program berinteraksi dengan al-Quran antara dua negara ini dengan bertemakan Ibrah Surah Al-Isra’ yang diadakan sempena majlis pelancaran Adopt Al-Hafiz 2018.

Bacaan ayat suci al-Quran dan ditadabburkan oleh penceramah jemputan dari Gaza, Palestin, Imam Ziyad Shehada Al-Hafiz dan Ketua Pegawai Penyelidik & Modul, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail.

Ziyad berkata, kita sebagai satu ummah saling bantu-membantu demi mengangkat isu pembebasan Palestin yang dekat di hati.

Surah Al-Isra’ dikaitkan dengan Baitul Maqdis. Ia merupakan tempat yang penting bukan sahaja bagi orang Palestin malah kita semua sebagai ummah.

“Membaca al-Quran bukan sekadar menghafaz, malah kita membaca, memahami, dan mengamalkannya. Baru timbul rasa ikhlas diri dalam mendekai al-Quran.

“ALLAH SWT menceritakan konflik antara golongan Muslim dan Yahudi dalam Surah Al-Isra’. Ia memerlukan jihad untuk menangani konflik tersebut.

“Sebelum keluar berjihad, kita perlu jihad atau melawan nafsu diri sendiri. Apabila  mempunyai al-quran di dalam hati dan minda, kita dapat berjihad di jalan ALLAH SWT. Di Gaza terdapat 1,000 penghafaz al-Quran,” kata Ziyad.

Beliau menambah, untuk mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan, ia memerlukan sokongan dan keikhlasan kalangan ummah. Untuk membantu orang Palestin, ia tidak memerlukan ramai pejuang, tetapi memerlukan doa daripada kalangan umat Islam yang berpegang kepada al-Quran.

Hadiah solat

Fazrul berkata, kalangan penceramah agama sering mengangkat Sural Al-Isra’ untuk dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj pada bulan Rejab dan mendapat hadiah solat ketika Nabi Muhammad SAW mikraj ke Sidratul Muntaha.

ALLAH SWT berfirman: “Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’: 1)

Surah Makkiyah tersebut diturunkan ketika Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan amat sedih dan jiwanya tidak tenteram. Baginda SAW mengalami kehilangan dua orang tersayang iaitu isterinya Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib sebagai orang penting dalam perjuangan dakwah.

Pada masa sama, Baginda SAW berhadapan dengan tentangan kaum Quraisy yang  dalam menyampaikan mesej ALLAH. Maka ALLAH SWT menghiburkan Rasul-Nya dengan satu perjalanan untuk menghargai al-Quran.

“Dengan kekuasaan ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan ALLAH SWT dan menerima perintah solat. Al-Quran dan solat dirakamkan dalam Surah Al-Isra’.

“Pada akhir zaman ini, terdapat banyak berlaku cabaran demi cabaran. Antara cabaran menjadi signal daripada ALLAH SWT adalah konflik yang berlaku di Palestin.

“Cukupkah kita membantu rakyat Palestin dengan memberikan duit, senjata, atau menjadi tentera ke Palestin? ALLAH SWT memberi jawapan-Nya dalam Surah Al-Isra’. Tema surah tersebut berkaitan bagaimana kita menghargai al-Quran.”

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Surah Al-Isra’: 9)

Perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam memberi indikasi bahawa jika orang yang ingin menyelesaikan masalah, dia perlu bangun malam dan bertahajud. Antara kelebihan solat Tahajud adalah ALLAH memberi tempat terpuji di sisi-Nya, dapat memahami Islam yang sebenar, dan diberi jalan keluar dari segala masalah.

 Tanda kemenangan

Fazrul berkata, masalah Palestin berlaku kerana kalangan umat Islam di dunia ini masih tidak bersama al-Quran. ALLAH memberi ujian di Bumi Anbiya’ tersebut bukan tandanya banyak dosa, tetapi mesej penting adalah rakyat Palestin perlukan doa daripada orang yang berpegang kepada al-Quran.

“Palestin adalah hati jantung kepada ummah. Jika ummah tidak mendekati al-Quran, maka bagaimana bumi Palestin akan menang?

“Ayat 2 Surah Al-Isra’, ALLAH menyampaikan mesej agar tidak mengulangi apa yang berlaku kepada kaum terdahulu, sebagaimana kisah Nabi Musa yang diberikan Kitab Taurat untuk disampaikan kepada kaum Bani Israil.

“ALLAH juga memperingatkan kita agar jangan menjadikan yang lain selain ALLAH untuk menyerahkan urusan segalanya.”

Sebagai panduan, kata Fazrul umat Islam yang bertawakal kepada ALLAH perlu menjadi Ulul Albab dengan baca, faham dan amalkan apa yang terkandung dalam al-Quran, sebagai sumber kehidupan.”

Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang berlaku di bumi Palestin. Surah Al-Isra’ membawa mesej besar bahawa kemenangan Palestin  bergantung kepada tawakal dan doa umat Islam kepada ALLAH di seluruh dunia.

“Jika Palestin menang, ini petanda umat Islam kembali kepada al-Quran dan mendapat barakah daripada ALLAH SWT,” katanya.