SOALAN: Bolehkah berkongsi makanan dengan orang bukan Islam?

HUKUM: Harus dan dibolehkan

HURAIAN: Berhubung persoalan ini, ada dua persoalan yang timbul; (i) hukum berkongsi makanan dengan orang bukan Islam dan (ii) hukum menggunakan bekas makanan/minuman orang bukan Islam.

Dalam sebuah hadith daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW telah diberikan susu yang dicampurkan dengan air. Di sebelah kanan Baginda ialah seorang A'rabi (Arab desa), manakala di sebelah kiri Baginda ialah Sayidina Abu Bakar. Baginda lalu meminumnya dan kemudian memberikannya kepada A'rabi tersebut sambil bersabda: Ke sebelah kanan dan seterusnya ke kanannya lagi. (Riwayat al-Bukhari, no. 5619).

Maka, secara asasnya, berkongsi makanan dengan orang bukan Islam adalah harus.

Manakala menggunakan bekas makanan/minuman orang bukan Islam adalah harus kecuali jika mereka menggunakannya untuk hal yang berkaitan najis. Maka, jika bekas tersebut diisi dengan makanan/minuman yang dikira najis di sisi Islam, sunat dibasuh terlebih dahulu. Ini sebagaimana hadith riwayat Imam Abi Daud dalam Sunannya no. 3839.

Ziarah orang bukan Islam meninggal

Soalan: Hukum lawat orang bukan Islam meninggal?

Jawapan:

HUKUM: Harus dan dibolehkan dengan memenuhi garis panduannya.

HURAIAN: Al-Imam al-Nawawi menyebutkannya di dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa al-Imam al-Syafi’e di dalam Mukhtasar al-Muzani dan juga ashab-ashab yang lain mengatakan dibolehkan bagi seorang Muslim untuk mengiringi jenazah kerabatnya yang kafir dan begitu juga menziarahi kubur mereka. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/144). Hal yang sama juga dinyatakan dalam kitab Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umayrah, 1/406.

Ia juga dipersetujui oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad Al-Fatwa Ke-117: Hukum Mengiringi Jenazah Bukan Islam yang mana beliau cenderung untuk membenarkan untuk menziarahi orang bukan Islam yang meninggal dengan syarat:

i.Tiada iktikad untuk membenarkan agama mereka.

ii.Tidak terbabit dalam upacara yang berkaitan dengan agama mereka kerana sesetengah majlis kematian bagi bukan Islam terdapat upacara-upacara yang berkaitrapat dengan amalan keagamaan.

iii.Bagi mereka yang ada pertalian dengan bukan muslim seperti saudara baru, rakan taulan, jiran tetangga dan sebagainya, kami syorkan agar dizahirkan akhlak islami dan menjadi ‘juru dakwah’ dengan memperlihatkan keindahan Islam itu sendiri. Memperlihatkan bagaimana sifat simpati dan empati kepada sesama manusia meskipun berlainan agama tetapi tetap dengan prinsip Islam yang sebenar.