UNGKAPAN reda ALLAH SWT berada pada reda ibu bapa, syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya menunjukkan betapa ibu bapa perlu diberi status kedudukan yang amat mulia.

Kerana itulah, Islam meletakkan ibu bapa pada status tertinggi dalam kehidupan seorang anak selain Tuhan dan Nabi-Nya. Sedar atau tidak, kita selamanya adalah anak kepada kedua ibu bapa; sama ada mereka masih hidup atau meninggal dunia.

Selama mana kita hidup di atas dunia ini, selama itulah kita tidak pernah terlepas daripada tanggungjawab kepada ibu bapa meskipun kita telah bergelar ibu bapa kepada anak sendiri.

Mutakhir ini, trend menghantar ibu bapa ke rumah orang tua, pusat jagaan harian ataupun mengupah pekerja menjaga ibu bapa dikatakan semakin meningkat terutamanya dalam kalangan anak-anak yang sibuk bekerja di bandar.

Pendakwah, Prof Madya Dr Mohd Noor Mamat berpandangan, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab membesarkan kita. Bermula dengan fasa melahirkan,  dan sanggup bergadai nyawa menghadapi seribu macam kesakitan.

Kesusahan seorang bapa pula mengorbankan seluruh jiwa dan masa untuk meraih rezeki bagi membesarkan kita sehinggalah kesungguhan keduanya mendidik, mencurahkan kasih sayang  buat si anak.

Katanya lagi,  ALLAH juga menyebut perihal berbuat baik kepada kedua ibu bapa selepas tuntutan beriman dengan ALLAH dalam al-Quran. Ia jelas menunjukkan martabat ibu bapa perlu dihormati.

Apatah lagi setelah keduanya mencapai usia tua; di mana sebahagian besar masanya dikorbankan untuk membesar dan mendidik anak-anak. Sudah tentulah penghormatan, penghargaan dan keprihatinan terhadap keduanya lebih dipertingkatkan.

"Sebagai anak, kita perlu mengenang jasa keduanya yang memelihara diri kita sedari kecil dengan tatangan kasih sayang. Maka Islam menuntut agar setiap anak mendoakan kebahagiaan ibu bapanya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Isra' ayat 24.

"Dalam ayat yang lain iaitu Surah Al-Isra' ayat 23, ALLAH melarang manusia berkelakuan kasar atau menengking ibu bapa, dan mewajibkan berkomunikasi dengan suara yang rendah dan penuh penghormatan.

"Memang benar, sebilangan mengatakan kehidupan seorang manusia di dunia ini adalah suatu kitaran, bermula dari seorang bayi, kanak-kanak kemudiannya membesar menjadi dewasa dan apabila mencecah usia tua, kita sebenarnya kembali seperti kanak-kanak atau bayi. Ibu bapa yang sudah mencecah usia tua kadangkala menuntut pelbagai permintaan yang merimaskan anak-anak, kadangkala tidak difahami dan kadangkala tidak dilayan," katanya kepada Sisipan Fikry.

Mohd Noor turut berkongsi pengalamannya mengendalikan kes melibatkan pasangan remaja yang menghadapi masalah halangan ibu bapa dalam meneruskan hubungan mereka dan mohon bantuan nasihat untuk menyelesaikannya.

"Setelah mendengar permasalahan tersebut, saya menyimpulkan pasangan tadi agak terdesak untuk berkahwin. Tetapi tidak mendapat restu ibu bapa remaja perempuan, dan bapanya enggan mewalikan perkahwinannya. Apabila diajukan dengan pra syarat dan kelebihan saranan mendapat restu ibu bapa terlebih dahulu, remaja perempuan tersebut agak gelisah dan keberatan.

"Bagi menyelesaikan halangan tersebut, dia mencadangkan untuk membuat laporan kepada mahkamah syariah bagi mendapatkan kebenaran perkahwinan berwalikan hakim. Antara cadangannya, dia sanggup membuat pengakuan yang bapanya tidak siuman, atau hilang tidak diketahui tempatnya, atau diragui bukan bapanya yang sebenar atau apa-apa sahaja.

"Apakah ini gambaran balasan seorang anak remaja yang dibesarkan oleh tangan kasar kedua ibu bapa tetapi begitu mudah menghina ibu bapa sendiri? Malah menafikan mereka kerana tidak sabar dengan keputusan ibu bapa, sedangkan keputusan ibu bapa tadi adalah untuk kebaikan anak-anaknya," ceritanya.

Kisah ini benar-benar menyentuh jiwanya, sekali gus menyedarkan beliau betapa angkuhnya anak-anak. Sehingga lupa kepada jasa dan pengorbanan ibu bapa.

Adakah ia kewajipan atau bebanan si anak

BAYANGKANLAH, untuk membalas jasa ibu mengandungkan kita selama sembilan bulan dengan penuh kepayahan dan kesakitan pun sudah tidak termampu apatah lagi untuk membayar kesakitan menghadapi maut ketika melahirkan kita. Namun seorang ibu tidak pernah menyesali segala pengorbanan itu.

Saat mereka menghadapi usia tua dan tenaga mula menghilang daripada tubuhnya, mereka hanya mengharapkan sedikit pengorbanan anak-anak untuk mengambil berat terhadap mereka, bukannya untuk menanggung bebanan kesakitan seperti mereka sakit melahirkan kita dahulu.

Alpa dan angkuh

Mohd Noor berkata, kadangkala sebagai anak yang sudah dewasa, kita mudah alpa dan angkuh dengan kehidupan kita dan rimas dengan kehadiran ibu bapa yang dianggap mengganggu. Mengenangkan betapa besarnya pengorbanan ibu bapa (terutama ibu), Rasulullah SAW banyak kali berpesan mengenai martabat ibu yang perlu ditaati oleh anak, kepentingan pengabdian anak kepada memelihara ibu bapa atau menjaga hati dan perasaan mereka.

Antara hadis Rasulullah  SAW mafhumnya: Daripada Abdullah bin Mas'ud, mereka telah bertanya Nabi SAW:- "Amalan manakah yang paling utama?" Nabi SAW menjawab: "Bersolatlah pada waktunya." Aku berkata: "Kemudian apa?" Nabi SAW bersabda: "Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa." Aku berkata: "Kemudian apa lagi?" Nabi SAW bersabda: "Berjihad di jalan ALLAH." (Riwayat Bukhari)

"Dalam konteks mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa, walaupun ibu bapa kita bukan Islam sekalipun ataupun tidak tergolong dalam kelompok orang yang baik-baik, namun tuntutan Islam masih tetap bertegas agar kita berbuat baik kepada mereka. Renung firman ALLAH dalam Surah Luqman ayat 15.

"Betapa besarnya tuntutan Islam dalam konteks mentaati setiap apa yang disuruh dan berbuat baik kepada ibu bapa, sehinggakan disebabkan arahan syirik dan perkara mungkar, ibu bapa yang jahat atau perbezaan agama sekalipun sama sekali tidak membataskan tuntutan berbuat baik kepada keduanya.

"Apatah lagi ibu bapa yang menyuruh kita melakukan perkara kebaikan, meminta sesuatu yang tidak dilarang oleh ALLAH untuk kita laksanakannya atau memberi teguran dan nasihat serta larangan untuk kebaikan kita, sudah tentulah lebih menuntut untuk kita mentaatinya dan berbuat baik kepada keduanya sebagai tanda penghargaan dan membalas budi," katanya.

Tak Mampu Urus

Baru-baru ini, Mohd Noor berkesempatan memerhati ragam anak-anak yang menziarahi ibu bapa di hospital, beliau sempat berbual dengan mereka. Terdapat sebahagian anak yang mudah memberikan bermacam alasan seperti mereka tidak mahir menguruskan ibu bapa yang sudah tua, cukuplah dengan mengeluarkan belanja atau mengupah orang lain untuk mengambil berat keperluan ibu bapa.

"Sebahagian kita beralasan tidak mahir seperti tidak biasa mandikan ibu bapa,  macam mana nak membersihkan najis ataupun gelilah dengan muntah dan kudis yang bernanah saat mereka tua. Saya terbayang ketika pertama kali ibu bapa menyambut kelahiran anak sulung. Gembira bukan. Kegembiraan mereka tidak memungkinkan untuk menuturkan kata-kata yang mereka tidak mahir menjaga anak yang masih bayi.

"Apakah yang terjadi kepada kita sekiranya itu alasan yang digunakan ibu bapa kita dulu? Terdapat juga sebilangan individu yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai disiplin dan kemahiran mengandaikan ibu bapa menggunakan logik teori ilmu mereka. Contohnya ramai yang sering menggunakan alasan bahawa: "Ayah dah tua, memang macam tu, tak boleh layan sangat..." atau "mak dah tua tak tahu, dia kena ikut kita..."

"Terdapat juga yang begitu berkira dengan setiap perbelanjaan untuk ibu bapanya. Apatah lagi wang simpanan sudah dihabiskan untuk membesarkan anak-anaknya sedari kecil. Namun bagi anak-anak sebegini, mereka berasa berat untuk menghabiskan wang dan hartanya demi untuk membahagiakan ibu bapa," ulasnya lanjut.

Menurutnya, sesetengah masyarakat kita kadangkala mengatur perbelanjaan untuk menjaga ibu bapa di saat mereka tidak berdaya mencari kehidupan mereka sendiri dengan membahagi-bahagikan kos pembiayaannya agar sama-sama ditanggung oleh setiap anak-anak.

Budaya ini kelihatannya positif tetapi boleh menyebabkan iri hati, dengki dan perasaan tidak puas hati sekiranya terdapat sebahagian mereka yang mengeluarkan belanja yang kurang daripada yang lain. Apalah salahnya jika masing-masing berebut mengeluarkan belanja demi ibu bapa kerana inilah masanya untuk membalas jasa mereka.

Insaflah Wahai Anak

Sedar atau tidak, kita adalah anak kepada kedua ibu bapa kita sejak dilahirkan sehingga kita menemui kematian. Kita harus menginsafi, menjaga dan membahagiakan ibu bapa terutamanya di saat mereka meniti usia senja adalah peranan kita sepanjang masa, bukannya bebanan.

Bersegeralah berbuat baik dan berkorbanlah untuk memberi kebahagiaan kepada ibu bapa. Gembirakan hati dan warnailah hidup agar mereka ceria menikmati kehidupan yang suatu ketika dahulu diusahakan untuk kita sehingga berjaya pada hari ini. Turutilah segala kata-kata dan nasihatnya serta yakinlah betapa mereka tidak pernah dengki atau mengkhianati apatah lagi memusuhi kita.

Renungkan kembali, apakah semua pesanan yang pernah diucapkan oleh ibu bapa selama membesarkan kita sudah terlaksana ataupun masih banyak yang terabai. Tidakkah terdapat perbuatan kita yang menghiris hati mereka, atau tindakan kita yang tidak disenangi mereka. Sedari kecil, jika dihimpunkan segala macam nasihat dan panduan hidup oleh ibu bapa, terlalu banyak dan terlalu berguna.

Insaflah betapa kita kadangkala tidak begitu mengendahkan nasihat dan teguran mereka ketika mereka masih hidup. Suatu hari kita akan menyesal dan ingin sekali mendengar teguran serta nasihat mereka, yang ketika itu mungkin mereka tidak lagi mampu bersuara.