ISLAM telah menetapkan lelaki hendaklah menjadi lelaki, perempuan menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang ditetapkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hikmah ALLAH SWT dalam penciptaan sudah pasti membawa pelbagai rahmat dan rahsia-Nya kepada makhluk seperti manusia.

Menurutnya, jangan sesekali mencabar fatwa diputuskan ulama tanpa hujah kukuh kerana mereka bukan mengeluarkan hukum sesuka hati dan juga mahu kepada pengaruh atau harta benda dunia tetapi fatwa diberikan mempunyai asas sandaran dan sumber muktamad daripada al-Quran, as-Sunnah, kias dan juga ijmak.

“Menghormati ulama salah satu ciri Muslim dan Mukmin yang baik. Kalaulah kita tidak menghormati ulama,  siapa lagi yang patut kita hormati.

“Memuliakan syarak dan mematuhinya hendaklah mengatasi segala-galanya. Ia sekali-kali tidak boleh dihukum kepada hukum syarak kerana ia datang daripada ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hukum bukanlah diasaskan kepada logik akal semata-mata atau berasakan sebagai kebebasan hak setiap manusia tetapi dalam Islam hendaklah berpandukan wahyu Ilahi dan hadyun nabawi (petunjuk Nabi SAW)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam satu wawancara dengan sebuah portal berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Justeru, beliau berpendapat warganegara tidak kira sama ada mereka LGBT atau bukan, sekiranya mereka tidak melakukan jenayah, pihaknya tidak akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, masyarakat beriman dan berbudaya tinggi dapat menilai budaya yang harus diikuti dan sesuai dengan syariat.

“Tetapi bagi masyarakat yang tidak cukup ilmu keagamaannya dan lemah pula keimanannya, budaya songsang terus menjadi ikutan lebih-lebih lagi banyak prasarana disediakan.

“Antara budaya songsang yang menjadi ikutan umat Islam, khususnya remaja ialah budaya perempuan menyerupai lelaki dan sebaliknya. lni adalah kerana tersebarnya fahaman uniseks, iaitu satu kefahaman tidak menyediakan pemisah antara lelaki dan perempuan,” katanya.

Rawat penyakit dengan cara baik

Dr Zulkifli berkata, begitu juga bagi golongan lelaki yang sudah mula berpakaian perempuan (lakonan dalam sitkom) membentuk buah dada dan menyuntik silikon, walaupun memerlukan perbelanjaan yang besar.

Beliau turut memetik kenyataan daripada Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam buku beliau menyebut bahawa: “Pemuda-pemudi kita telah dilanda gelombang penyerupaan dan ikutan membabi buta. Justeru, semestinya tanggungjawab terhadap pendidik merawat penyakit ini dengan cara yang baik.”

Dalam perkembangan yang sama beliau berpandangan, Gender Identity Disorder (GID) atau Gangguan Identiti Jantina ialah keadaan seseorang berasakan dia seorang lelaki atau wanita, di mana terjadi konflik antara anatomi jantina seseorang dengan identiti jantinanya.

“Bagi individu yang dilahirkan sebagai lelaki, pengenalan silang jantina dimanifestasikan oleh keasyikan dengan permainan, pakaian dan aktiviti-aktiviti yang bersifat wanita.

“Manakala bagi individu perempuan, mereka mengenal pasti dengan jantina bertentangan melalui keasyikan terhadap role-play, impian dan fantasi,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, GID adalah penyakit mental dan tidak ada kena kaitannya dengan golongan transgender.

Katanya, golongan transgender kebanyakannya terkait dengan tindak-tanduk dan juga penampilan yang mereka bawakan. Kecenderungan peribadi seseorang untuk berperwatakan dan perilaku jantina berlainan tidak boleh dikatakan seseorang itu dikatakan menghidap GID.

“Gangguan identiti jantina dikatakan hanya boleh dirawat dengan terapi hormon dan pembedahan untuk membantu fizikal individu menyerupai jantina yang diingini.

“Langkah-langkah ini secara umumnya diambil hanya selepas ujian dan penilaian yang ketat,” katanya.

Beliau berkata lagi, ini kerana telah terbukti lebih 3,000 individu transgender terdiri daripada mak nyah, lesbian, gay dan biseksual berjaya dibimbing ke pangkal jalan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).