AIB seorang isteri perlu dijaga dan tidak wajar dipertontonkan kepada umum.

Pendakwah, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, dari sudut agama, aurat dan aib isteri perlu dipelihara oleh suami.

“Walaupun dunia telah moden tapi ajaran Islam kata tak boleh maka ia tak boleh. Perbuatan berkongsi video isteri bersalin kepada umum walaupun tidak menunjukkan aurat isteri adalah sesuatu yang bertentangan dengan etika Islam.

“Mengapa saya kata begitu, kerana kita tak tahu keadaan isteri kita dan raut wajah dia ketika melahirkan anak. Itu sesuatu yang mengaibkan golongan isteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, memang benar isteri adalah hak suami selepas akad nikah dilakukan, namun isteri tidak boleh diperlakukan dengan buruk.

“Islam itu meletakkan darjat seorang wanita di tempat yang tinggi kerana dia adalah individu yang melahirkan dan menjaga anak kita. Ingat, Islam ajar suami untuk menghormati isteri dan begitu juga dengan isteri terhadap suaminya.

“Satu lagi perlu diingatkan adalah, hubungan kita dengan isteri hanyalah lafaz akad dan kalau bercerai, kita dah tak ada apa-apa hubungan. Jangan jadikan perkara seumpama ini sebagai jalan ke arah perceraian,” katanya.

Jangan terlalu seronok

Menurutnya, perkara terbaik perlu dilakukan seorang suami ketika isteri sedang bersalin adalah mendoakan keselamatan isteri dan zuriat yang bakal dilahirkan.

“Kalau pun kita nak maklum kepada umum bahawa isteri kita sedang melahirkan anak, ajak ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk berdoa meminta daripada ALLAH SWT supaya dipermudahkan dan selamatkan isteri serta anak kita itu.

“Kalau kita bersama isteri dalam dewan bersalin, kita berada di sisinya untuk beri semangat dan kekuatan dalam proses bersalin. Proses bersalin ini diibaratkan satu pertarungan antara hidup dengan mati, jadi jangan terlalu berseronok,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya seorang suami terlalu gembira dan ingin memaklumkan kepada umum mengenai kelahiran anak, mereka boleh rakam gambar selepas proses bersalin.

“Nak maklumkan kegembiraan dapat anak, ambil la gambar isteri sedang meriba anak. Lebih sopan daripada kita merakam detik proses bersalin,” katanya.

Sesuatu yang mengaibkan

Sementara itu seorang lagi pendakwah, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, merakam proses bersalin isteri sendiri dan dipaparkan kepada umum adalah sesuatu yang mengaibkan.

“Lebih-lebih lagi kalau aurat isteri itu terdedah kepada umum. Ia masih kekal dalam konteks aurat dan satu kesalahan.

“Kita ada alasan sekiranya pakar perubatan itu lelaki dalam konteks darurat di mana tak ada doktor wanita. Dengan kata lain darurat itu diukur dengan darurat ketika itu. Kalau setakat nak tunjuk gambar bayi kepada umum tidak ada masalah,” katanya.

Menurutnya, sekiranya rakaman itu bagi bagi tujuan simpanan peribadi, ia bergantung kepada individu itu sendiri.

“Kalau bagi tujuan viral memang tak boleh. Perkara dalam dewan bersalin itu adalah privasi suami isteri dan biarlah ia menjadi rahsia,” katanya.

Kelmarin, seorang jutawan kosmetik memuat naik rakaman video saat isterinya sedang bersalin ke media sosial.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang beranggapan ia sepatutnya tidak dikongsi kepada umum.

Tidak kurang juga ada yang menyokong perkara tersebut dengan memberi alasan supaya orang ramai perlu sedar pengorbanan seorang isteri melahirkan anak.