Perselisihan dan pertelingkahan umat Islam hari ini amat membimbangkan. Disebabkan nafsu dan kecintaan kepada kekuasaan, manusia berpecah belah serta saling berselisih.

Ia turut diperakui oleh pendakwah bebas dan juga penulis buku, Datuk Dr Abdul Basit Abd Rahman. Beliau berkata, inilah godaan nafsu, manusia itu dihias dan suka kepada benda-benda syahwat dan nafsu.

“Semua pangkat dan kecintaan itu ada di sebut dalam kitab-kitab tasawuf. Sebagai salah satu  daripada penyakit hati, iaitu sukakan pada pangkat dan kedudukan. Suka kepada sifat inilah mendorong manusia itu menjadi tidak peduli, kawan jadi lawan dan hubungan kekeluargaan diputuskan, demi mencapai cita-cita nafsu yang dikejar.

“Diingatkan kepada penyokong, pemimpin dan calon-calon yang akan bertanding, takutlah kepada ALLAH SWT. Perjalanan hidup manusia ini akan berakhir pada bila-bila masa sahaja, nikmat yang dikecap itu adalah sementara. Jangan kerana sibuk dengan matlamat dunia dan PRU, kita lupa kepada matlamat asal sebagai khalifah di muka bumi ALLAH,”katanya.

Mengulas lanjut kisah Rasulullah SAW yang dibawa Malaikat Jibril berjalan-jalan dalam mimpinya yang panjang, Abd Basit berkata, ketika berjalan-jalan, Nabi nampak dua orang lelaki yang dicucuk dan dirobek mulutnya sehingga keluar di tengkuk. Nabi bertanya kepada Malaikat Jibril, siapakah mereka ini, lalu Malaikat berkata, mereka inilah yang berjalan ke sana sini dan membawa pembohongan dan pembohongannya itu telah sampai ke pelosok dunia. (Hadis ini diriwayatkan oleh imam Bukhari dari Samurah bin Jundub)

“Kisah pembohongan pada zaman ini, sangatlah besar. Hanya di hujung jari sahaja, ia boleh disebar sehingga ke seluruh pelosok dunia. Dosa besar ini bukan sahaja mengundang perpecahan dan perpaduan, bahkan boleh menjadi muflis di akhirat. Sama ada di alam nyata atau alam maya, malaikat sentiasa mencatat apa yang kita kata dan tulis,”ujarnya.

Tegas beliau lagi, penyatuan ummah perlu, bahkan menjadi kewajipan semua pihak.

“Orang awam harus berusaha menyatukan umat, tiada ada cara lain, selain kembali kepada ajaran ALLAH. Sesungguhnya setiap umat Islam itu bersaudara, sekalipun berbeza fahaman politik, amalkanlah sikap toleransi untuk memupuk rasa kekitaan dan perpaduan,”akhirinya.

Anda Soal

Ustaz, jika semua saling keji mengeji, siapa yang perlu kami undi?

Sistem pilihan raya bukan fokus kepada individu, tetapi ia memberi kesan kepada dewan negeri, parlimen dan sekali gus membentuk kerajaan. Untuk memilih siapakah calon anda, maka berbaliklah kepada dasar perjuangan parti masing-masing. Sekiranya ia menguntungkan masyarakat dan umat Islam, maka pilihan di tangan anda, tanpa semata-mata menilai latar belakang calon yang akan dipilih.

Elakkan budaya kotor dalam politik

Usaha memperjuangkan fahaman politik masing-masing kini dicemari dengan budaya kotor, tanpa mengambil kira batasan dosa dan pahala. Apabila perbezaan pendapat dan pandangan itu tidak dapat diurus dengan baik, maka berkibarlah bendera pelbagai warna dengan kata-kata penuh fitnah, keji-mengeji, umpat dan label-melabel.

Hari ini, apabila kekuasaan menjadi rebutan, manusia seolah hilang pertimbangan diri. Jauh sekali mahu memikirkan ianya adalah ujian dan amanah yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan sang Pencipta kelak. Demikian penjelasan Imam Muda Mohammad Hafiz Abdul Khodir kepada Sinar Islam.

Katanya lagi, setiap ummat manusia itu bernaung di bawah syahadah yang sama, bersaudara dan juga khalifah di muka bumi Tuhan ini. Namun kerana kekuasaan, manusia itu sanggup melakukan apa sahaja mengikut cara apapun yang diinginkannya. Sepertimana yang dikisahkan dalam alQuran,  kerana ketamakan kuasa yang melampau, seseorang yang ingin menjaga kuasanya sanggup mendakwa dirinya sebagai TUHAN seperti Firaun, Raja Diqyanus (Ashabul Kahf) dan Raja Ashabul Ukhdud.

“Rasulullah SAW juga mengingatkan kita agar, jangan engkau mengambil kuasa ini jika engkau lemah (tidak mampu) kerana ia kelak akan menjadikan kamu menyesal dan rugi pada hari kiamat (muflis). Namun sayangnya, tidak ramai peduli dengan amaran dan peringatan ini. Manusia masih mengejar kekuasaan tanpa memikirkan kesannya pada hari akhirat nanti.

“Imam Ghazali r.h pernah mengatakan bahawa, perkara yang kelihatan ringan tetapi amat berat adalah amanah atau tanggungjawab. Maka tiada yang lebih berat berbanding dari memiliki kuasa ke atas sesebuah negara dan rakyatnya. Dari Abi A'war as Sulami r.a riwayat tabrani dan dailami turut mengingatkan, berhati-hatilah saat mendekati pintu-pintu kekuasaan, kerana ianya akan mengakibatkan kamu menjadi beban dan hina di akhirat,"katanya.

Bercakap tentang budaya keji mengeji di kalangan calon pemimpin dan pentaksub politik, Mohamad Hafiz turut menegaskan, perbuatan keji-mengeji adalah dilarang dalam agama. Tambahnya lagi, firman ALLAH dalam surah al-Hujurat ayat 11 turut menjelaskan bahawa, membuka aib seseorang bagi mendapatkan kuasa adalah haram. Bahkan jawatan yang dipegang itu juga haram jika, kekuasan yang dimiliki itu disebabkan menang FITNAH.

“Kekhalifahan itu adalah kuasa pemberian ALLAH SWT kepada hambanya, maka ia perlu diurus dengan iman dan takut pada ALLAH. Budaya fitnah menfitnah musim pilihan raya adalah satu budaya yang tidak harmoni dan bukan dari ajaran Islam. Contohi sifat saidina Usman r.a apabila ada orang yang memberontak dan memburukkan aibnya, beliau hanya menerima dengan sabar. Bahkan melarang sahabat-sahabatnya memerangi sikap golongan khawarij atau pemberontak pada ketika itu.

“Seorang pemimpin itu haruslah memiliki jiwa yang zuhud dan keutamaan menunaikan tanggungjawab pada mereka yang berhak. Antara sifat yang perlu diutamakan agar tidak ghairah memegang kekuasaan adalah, adil, ihsan, merapatkan persaudaraan, menjauhi mungkar & maksiat, dan juga menjauhi sifat tamak serta rakus,”katanya kepada Sinar Islam.

Kata Ustaz

“Nafsu sering kali mendorong manusia melakukan perkara tidak baik. Individu yang bijaksana sentiasa berusaha menguasai nafsu dan bermuhasabah diri. Sebaliknya pula, orang yang lemah hanya akan membiarkan dirinya menuruti apa jua yang diingini oleh nafsunya. ”- IMAM MUDA HAFIZ

Didik nafsu menurut Imam Ibn Qudamah r.h.

1. Al Musyaratoh - Meletakkan syarat kepada nafsu secara paksa untuk melakukan perkara yang diredai oleh ALLAH SWT dengan menggandakan amalan itu jika tertinggal.

2. Al Muraqabah - Mengawal nafsu dan diri dari melakukan dosa ketika jauh dari pandangan manusia.

3. Al Muhasabah - Melakukan senarai semak pada diri sendiri atas setiap perbuatan.

4. Al Mua'qabah - Menghukum nafsu dan diri jika tertinggal perkara yang diperintahkan oleh ALLAH & Rasul.