AIDILFITRI kembali memeriahkan suasana. Sana-sini meriah dengan sambutan. Rumah terbuka hatta pejabat terbuka semakin memenuhi perancangan jadual sebulan Syawal.

Namun begitu, dalam keghairahan menyambut lebaran, kita selalunya terlupa. Ketika Ramadan, kita sibuk mencari anak yatim dan golongan fakir miskin untuk disantuni. Namun, dalam kemeriahan aidilfitri bahkan sepanjang tahun golongan tersebut seolah-olah dilupakan dan dipandang sepi sehinggalah musim Ramadan dan perayaan berulang kembali. Apakah kebajikan ini sifatnya bermusim? Ataupun ia seseuatu yang harus dilakukan secara istiqamah dan berterusan sehinggalah ke saat nyawa kita terhenti?

Infaq Sebelum Mati

Pepatah barat ada menyatakan ‘Shop till you drop’ yang bermaksud berbelanja sakan sampai anda kehabisan!. Sudah tentu ini adalah satu slogan yang merugikan khasnya bagi mereka yang mengimani kehidupan di akhirat. Sedangkan dalam al-Quran telah  wujud kaedah yang mungkin ramai terlepas pandang, berdasarkan firman ALLAH Ta’ala dalam surah al-Munafiqun ayat 10:

“Belanjakanlah (infaq) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu. Lalu dia berkata (menyesali): "Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi  agar aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh."

Ya, belanjalah, sedekahkanlah dan infaqkanlah secara bermati-matian dan bersungguh-sungguh pada jalan yang diredai ALLAH sebelum tibanya waktu ajal dan kematian datang menyapa. Inilah yang sewajarnya dilakukan agar tidak lagi wujud sebarang penyesalan dan permintaan yang sama sekali tidak akan dimakbulkan Tuhan.

Justeru, antara jalan-jalan perbelanjaan mengikut aturan syariat Tuhan adalah dengan yang paling utamanya menunaikan kewajipan berzakat. Bukan itu sahaja, bahkan banyak lagi elemen dan bentuk-bentuk perbelanjaan pada jalan ALLAH menerusi sedekah, infaq, waqaf dan seumpamanya menanti untuk dilakukan.

Kerana sikap manusia yang selalu melupakan nasib mereka yang kurang berdaya dari aspek ekonomi inilah, ALLAH Ta’ala menempelak dan menggelar mereka sebagai pendusta agama. Firman ALLAH Ta’ala dalam surah al-Ma’un ayat 1-3:

“Adakah engkau lihat orang yang mendustakan ad-Din (agama)? Itulah golongan yang menindas anak-anak yatim. Juga mereka tidak mempedulikan memberi makan kepada golongan fakir miskin.”

Apa yang dipelajari dari ayat-ayat ini bahawa orang-orang beriman sewajarnya berlainan sikapnya dari orang-orang yang mendustakan ad-Din. Hakikat keimanan yang mantap akan mendorong sikap berterusan dalam menolong anak-anak yatim dan orang miskin serta cakna tentang keperluan mereka saban hari.

Pernah suatu ketika dalam kuliah seorang ulama tersohor di Indonesia, Kiyai Haji Ahmad Dahlan bertanya kepada anak muridnya tentang pengajian al-Quran yang telah dipelajari sebelumnya. Anak-anak didiknya menjawab : “Surah al-Mau’n.” Lantas, Kiyai Ahmad Dahlan berkata. “Insya Allah, hari ini kita akan belajar lagi surah al-Mau’n.” Penyataan itu membuatkan anak muridnya berkomentar. “Duhai Pak Kiyai! Lagi-lagi surah al-Mau’n! Apa tiada surah yang lain untuk dipelajari?.”

Persoalan itu dibalas juga dengan persoalan. “Apakah pada hari ini sudah kamu santuni mana-mana nak yatim di perjalanan kamu atau telah kamu memberi makan mana-mana fakir miskin yang kamu kenali?” Mendengarkan itu, anak muridnya diam lalu tertunduk membisu. Melihatkan keadaan itu Kiyai Ahmad Dahlan menyambung. “Nah! Jika masih belum kamu lakukan sedemikian maka kita harus belajar lagi surah Al-Mau’n kerana kita belum lagi benar-benar memahami dan mengerti untuk beramal!”

Ideal vs Praktikal

Barangkali ada yang termenung berfikir. Kelihatan janji dan usaha membantu keperluan golongan mustadh’afin (lemah) dek kemiskinan ini sesuatu yang terlalu idealistik untuk dilaksanakan apatah lagi dimurnikan lebih-lebih lagi saban hari dan ketika. Usah khuatir, apapun cabaran dan halangan pasti wujud kaedah penyelesaian.

Realitinya, telah wujud badan-badan berautoriti dan rasmi di setiap negeri yang menguruskan hal ehwal berkaitan zakat, infaq dan sedekah serta mengagihkannya kepada golongan yang berhak terutama fakir miskin. Melalui saluran rasmi inilah jalannya untuk kita terus menabur bakti tanpa henti.

Segalanya juga kini lebih mudah dan praktikal dengan teknologi serta kecanggihan masakini. Sejujurnya tiada lagi alasan yang boleh dilampirkan untuk kita menafikan sumbangan kita membela nasib asnaf yang memerlukan. Istiqamahlah dalam menabur bakti. Semoga kelak kita semua bakal dipanggil dan dijemput masuk menerusi pintu khas bagi ahli sedekah untuk  ke syurga yang kekal abadi beserta rahmat dan reda Ilahi.